
KUALA LUMPUR: MBM Resources Bhd (MBMR) dijangka meraih pendapatan lebih stabil pada tahun ini, didorong oleh permintaan terhadap Perodua yang berdaya tahan walaupun mencatat permulaan lebih perlahan bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2025.
MBMR melalui DMM Sales Sdn Bhd, merupakan pengedar terbesar Perodua di Malaysia.
Maybank Investment Bank berkata Perodua juga kekal di landasan untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 345,000 unit (turun 4 peratus tahun ke tahun) walaupun prestasi suku pertama agak perlahan akibat faktor bermusim dan isu duti eksais yang selesai pada Januari 2025.
“Walaupun jualan suku kedua mungkin kekal perlahan disebabkan penutupan berjadual kilang pada April dan Jun, permintaan (sebaliknya) kekal kukuh disokong oleh tunggakan tempahan melebihi 80,000 unit,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata MBMR juga dijangka tidak terlibat dalam pelancaran kenderaan elektrik (EV) Perodua akan datang pada suku keempat yang dikendalikan terus oleh pengeluar peralatan asal (OEM) dalam fasa awal.
Maybank Investment mengekalkan saranan “pegang” ke atas MBMR dengan harga sasaran RM5.63.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank berkata MBMR mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM71.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (turun 27.1 peratus suku ke suku; turun 11.1 peratus bagi tahun ke tahun), seiring dengan jangkaan pasaran.
“Kami melihat pendapatan suku tahunan yang mampan, disokong oleh permintaan kukuh terhadap Perodua.
“Malah, Perodua menyasarkan jualan sebanyak 345,000 unit bagi tahun 2025, disokong oleh tunggakan tempahan semasa sebanyak 97,000 unit manakala pengambilan tempahan baharu kekal sihat,” katanya.
Sehubungan itu, Hong Leong mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MBMR dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM7.10, berdasarkan diskaun 15 peratus kepada penilaian jumlah bahagian sebanyak RM8.31.– Bernama