Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Permintaan air melebihi kapasiti punca gangguan bekalan di Stumbin dan Tanjung Bijat
  • Selatan
  • WILAYAH

Permintaan air melebihi kapasiti punca gangguan bekalan di Stumbin dan Tanjung Bijat

Utusan Sarawak 9 hours ago
GANGGUAN bekalan air yang berlaku di kawasan Stumbin dan Tanjung Bijat dikenal pasti berpunca daripada peningkatan permintaan bekalan air yang melebihi kapasiti LRA Stumbin. Foto: JBALB Sarawak

SIMANGGANG: Gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Stumbin dan Tanjung Bijat di Bahagian Sri Aman dikenal pasti berpunca daripada peningkatan permintaan bekalan air yang melebihi kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Stumbin.

Menurut kenyataan media Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, loji tersebut pada masa ini hanya mampu menghasilkan sekitar 0.65 juta liter sehari (JLS), sekali gus tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan bekalan air semasa di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, bekalan air tambahan sebanyak dua juta liter sehari perlu disalurkan dari LRA Bayai ke LRA Stumbin bagi menampung keperluan pengguna yang semakin meningkat.

GANGGUAN bekalan air yang berlaku di kawasan Stumbin dan Tanjung Bijat dikenal pasti berpunca daripada peningkatan permintaan bekalan air yang melebihi kapasiti LRA Stumbin. Foto: JBALB Sarawak

Bekalan tersebut disalurkan melalui Tangki Takungan Bayai serta rangkaian paip sepanjang sekitar 35 kilometer bagi memastikan sistem agihan air ke kawasan terjejas dapat terus beroperasi.

JBALB memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan dan pemantauan di lapangan mendapati kekerapan gangguan bekalan air berpunca daripada isu pada jajaran paip, termasuk kebocoran paip serta pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan.

Selain itu, gangguan juga dikaitkan dengan projek pembesaran jalan di Bandar Sri Aman yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

GANGGUAN bekalan air yang berlaku di kawasan Stumbin dan Tanjung Bijat dikenal pasti berpunca daripada peningkatan permintaan bekalan air yang melebihi kapasiti LRA Stumbin. Foto: JBALB Sarawak

Menurut JBALB, sebahagian besar jajaran paip yang menyalurkan bekalan air dari Tangki Takungan Bayai ke Loji Stumbin terletak dalam kawasan projek tersebut.

Keadaan ini menyebabkan risiko gangguan bekalan air meningkat sekiranya berlaku kebocoran paip semasa kerja pembinaan dijalankan atau apabila penutupan injap perlu dilakukan bagi tujuan kerja pembaikan serta penyambungan sistem paip.

Bagi menstabilkan bekalan air, JBALB telah mengambil beberapa langkah segera termasuk menjalankan pemeriksaan berterusan di sepanjang jajaran paip, khususnya di kawasan yang sedang menjalankan kerja pembangunan.

Selain itu, pihak teknikal turut memeriksa keadaan semua injap, menukar injap yang uzur, membaiki paip rosak serta memasang Double Air Valve (DAV) pada paip lencongan di kawasan berbukit dalam tapak projek pembinaan Jalan Astana bagi mengatasi kemungkinan berlakunya masalah kunci udara dalam sistem paip.

JBALB juga membina sebuah paip lencongan alternatif di kawasan Peace Park, Jalan Astana bagi membantu menstabilkan sistem agihan serta menambah baik bekalan air ke kawasan yang terjejas.

Pada masa sama, bekalan air turut dihantar menggunakan lori tangki selain mewujudkan pusat pengumpulan air berpusat di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air sementara.

JBALB Sarawak turut merakamkan penghargaan atas kesabaran serta kerjasama penduduk sepanjang tempoh kerja pemulihan bekalan air dilaksanakan.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JBALB Sarawak dan orang ramai boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 bagi sebarang aduan atau pertanyaan.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Persatuan Anak Kabong lantik jawatankuasa baharu, perkukuh agenda Anak Kabong di perantauan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.