KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, malam ini, berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Juma’ani Pavilion di sini.
Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada jam 8.14 malam disambut oleh isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggas Embas serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan negeri itu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Juma’ani Pavilion adalah hab fesyen yang memasarkan produk warisan tempatan dihasilkan oleh anak Sarawak dalam mempromosi kesenian dan kebudayaan.
Ia juga berperanan sebagai pusat latihan bagi pereka muda tempatan yang berbakat dalam bidang fesyen dan tekstil.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Uggah berkata melalui Juma’ani Pavilion, industri fesyen di Bumi Kenyalang secara tidak langsung sudah bersedia menempatkan diri di pasaran nasional dan global.
“Apa yang menarik minat patik, tempat ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti pengimbas badan 3D yang mampu mengukur badan seseorang tanpa perlu menggunakan pita ukur lagi.
“Selain itu, di sini juga terdapat mesin membuat kasut dan produk berkaitan dengan kulit. Jadi, sesiapa yang ingin menempah kasut selepas ini tidak perlu pergi jauh,” katanya.
Beliau berkata Juma’ani Pavilion turut menempatkan sebuah makmal untuk kegunaan pelatih dan pereka tempatan bagi merancang, mencipta, mereka bentuk dan melakar rekaan yang bakal dihasilkan.
“Dengan segala kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di hab fesyen ini, ia dijangka mampu memberi manfaat kepada ramai usahawan fesyen dan tekstil, memartabatkan seni warisan ke persada dunia melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif,” katanya.
Tunku Azizah, yang juga Penaung Pusat Pengeluaran Songket Kontemporari Yayasan Tuanku Nur Zahirah, meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat sendiri koleksi seperti pakaian moden dengan sentuhan tradisi Sarawak, beg tangan serta kasut yang dihasilkan pereka tempatan dan dipasarkan di Juma’ani Pavilion.– BERNAMA