Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Perlumbaan bot laju tonjol potensi Sebauh sebagai hab sukan permotoran air
  • Utara
  • WILAYAH

Perlumbaan bot laju tonjol potensi Sebauh sebagai hab sukan permotoran air

Utusan Sarawak 2 hours ago
RAKAMAN kenangan Datuk Sri Stephen Rundi Utom bersama penganjur dan para pemenang Perlumbaan Bot Laju Sebauh pada Majlis Penutupan Pesta Sebauh 2026, hari ini.

SEBAUH: Sebauh berpotensi menjadi antara lokasi tumpuan bagi penganjuran sukan permotoran air menerusi Perlumbaan Bot Laju Sebauh yang berlangsung sempena hari terakhir Pesta Sebauh 2026 di Sungai Kemena, hari ini.

Acara berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam berjaya menarik sebanyak 200 penyertaan daripada penggiat sukan permotoran air, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran sukan tersebut.

Perlumbaan Bot Laju Sebauh menjadi antara acara kemuncak penutup Pesta Sebauh 2026 yang berlangsung selama 10 hari sebelum melabuhkan tirainya secara rasmi pada 5.00 petang tadi.

Majlis penutupan Pesta Sebauh 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Stephen Rundi Utom, sekali gus menandakan berakhirnya penganjuran pesta berkenaan yang menampilkan pelbagai pengisian termasuk program kebudayaan, sukan, keusahawanan dan aktiviti komuniti.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam Perlumbaan Bot Laju Sebauh iaitu 15HP Longboat Fiber (Tertutup), 18HP Tunnel, 30HP 2 Piston Tunnel, 30HP 3 Piston Tunnel, 40HP 3 Piston Tunnel/50HP Tunnel serta 5HP Open, yang menyaksikan peserta mempamerkan kemahiran mengendalikan bot laju dalam saingan sengit.

Menariknya, perlumbaan kali ini turut disertai beberapa pasukan dari Brunei yang mengambil bahagian, sekali gus memperlihatkan penyertaan lebih luas melibatkan penggiat sukan permotoran air dari luar Sarawak.

Antara pasukan dari Brunei yang menyertai perlumbaan berkenaan ialah Black Mamba, Man Darwisy Racing Team dan ST Racing Team, yang turut bersaing bersama peserta lain dalam kategori yang dipertandingkan.

Sejak awal pagi lagi, kawasan perlumbaan di Sungai Kemena mula dipenuhi pengunjung yang hadir menyaksikan aksi berkelajuan tinggi peserta, sekali gus menjadikan acara tersebut antara tarikan utama sempena hari penutup Pesta Sebauh 2026.

ORANG ramai membanjiri tebing Sungai Sebauh hari ini bagi menyaksikan Perlumbaan Bot Laju Sebauh sempena hari terakhir Pesta Sebauh 2026.

Menurut Encik Norman Jackson Tubam daripada NRT Group, antara penganjur perlumbaan berkenaan, penambahan kategori 15HP Longboat Fiber Tertutup tempatan menjadi antara keunikan penganjuran tahun ini.

Beliau berkata, kategori berkenaan diperkenalkan bagi memberi peluang kepada peserta tempatan menyertai perlumbaan selain membuka ruang kepada lebih ramai peminat sukan permotoran air mengetengahkan bakat masing-masing.

“Pada tahun ini kita menambah kategori 15HP Longboat Tertutup tempatan sebagai satu kelainan dalam perlumbaan kali ini. Kita mahu memberi peluang kepada peserta tempatan untuk turut serta dan menunjukkan kemampuan mereka.

“Sambutan yang diterima sangat baik daripada peserta dan orang ramai yang hadir menyaksikan perlumbaan ini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, penganjuran perlumbaan bot laju itu bertujuan memperkenalkan sukan permotoran air kepada masyarakat yang lebih luas, khususnya peminat dari luar Sarawak.

“Selain memberi hiburan kepada pengunjung, kita mahu sukan ini lebih dikenali oleh masyarakat luar, lebih-lebih lagi dari luar Sarawak.

“Ia juga merupakan salah satu tarikan sukan yang ada di Sarawak dan kita berharap ia dapat terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.

NORMAN Jackson Tubam ketika ditemui Utusan Sarawak di perkarangan tapak perlumbaan bot laju di Sungai Kemena, Sebauh hari ini.

Menurut beliau, pihak penganjur merancang untuk meneruskan lagi penganjuran acara seumpama itu bagi memberi peluang kepada peminat sukan bot laju mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran masing-masing.

“Perancangan kita adalah untuk meneruskan lagi acara seperti ini supaya bakat-bakat baharu dapat diketengahkan dan peminat sukan sebegini mempunyai platform untuk mengembangkan lagi kemahiran mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Norman turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Perlumbaan Bot Laju Sebauh.

Beliau berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi memastikan acara tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar serta mendapat sambutan daripada peserta dan pengunjung.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan acara ini. Kerjasama serta sokongan yang diberikan amat membantu dalam memastikan perlumbaan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Selain menjadi medan persaingan dalam kalangan peserta, perlumbaan tersebut turut memperlihatkan semangat kesukanan dan persaingan sihat melibatkan peserta dari pelbagai kawasan.

Penganjuran Perlumbaan Bot Laju Sebauh turut memperkenalkan potensi Sungai Kemena sebagai lokasi yang sesuai untuk aktiviti sukan permotoran air, sekali gus membuka peluang kepada penganjuran acara lebih besar pada masa hadapan.

Kemeriahan acara tersebut turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan apabila kawasan tapak pesta dipenuhi pengunjung yang mengambil peluang menikmati pelbagai jualan makanan, minuman serta produk tempatan.

Pesta Sebauh 2026 yang berlangsung selama 10 hari melabuhkan tirai dengan jayanya selepas menampilkan pelbagai pengisian termasuk program kebudayaan, sukan, keusahawanan dan aktiviti komuniti, dengan Perlumbaan Bot Laju Sebauh menjadi antara acara kemuncak yang menutup sambutan tahun ini.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pelajar terajui inisiatif komuniti, kutip RM20,000 untuk kanak-kanak sakit kritikal
Next: Kesukarelawanan benteng masyarakat penyayang – Lee Kim Shin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.