
KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki dari Bintulu yang berjuang melawan penyakit Hepatitis Autoimun Jenis II dengan penyakit hati tahap akhir sejak berusia enam bulan, memerlukan bantuan kewangan yang dianggarkan sebanyak RM225,000 bagi menjalani pembedahan pemindahan hati kedua dan rawatan di Hospital Renji, Shanghai.
Kanak-kanak tersebut, Gonzalez Yiu yang kini berusia setahun lapan bulan merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan pemindahan hati anaknya di China.
Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Viviana Thomas, 28, berkata pemindahan hati kedua diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anak kecilnya itu.
“Gonzalez disahkan menghidap Type II Autoimmune Hepatitis dan penyakit hati tahap akhir sejak usianya enam bulan. Pada Mac tahun lalu, dia telah menjalani pemindahan hati pertama dengan saya sendiri sebagai penderma.
“Namun, komplikasi yang berlaku selepas pembedahan menyebabkan keadaan hatinya kembali merosot,” katanya.
Viviana berkata, kini Gonzalez yang merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik itu perlu menjalani pemindahan kedua yang dijadualkan di Renji Hospital, Shanghai, China dengan anggaran kos sebanyak RM225,000.
“Kali ini, bapa Gonzalez, Yiu Kuok Ling, 30, pula akan menjadi penderma daripada sebahagian hatinya pada pemindahan hati kali ini. Keluarga kami kini menetap sementara di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur sejak Mac lalu bagi pemantauan rapi sebelum prosedur dijalankan,” katanya.
Viviana berkata mereka terpaksa merayu sumbangan orang ramai sebagai jalan terakhir memandangkan simpanan mereka telah habis digunakan untuk membeli barangan keperluan dan rawatan selain kos berulang-alik ke hospital.
“Saya hanya ingin melihat anak saya sihat seperti kanak-kanak lain, dan harapan saya seorang ibu kini bergantung kepada kebaikan hati orang ramai. Walaupun Gonzalez masih kecil, perjuangannya sangat besar.
“Sumbangan anda, walaupun kecil, mampu memberi harapan baru buat Gonzalez dan keluarga kami,” jelasnya.
Viviana berkata pihaknya telah pun selesai membantu proses dokumentasi yang diperlukan dengan pihak hospital di China yang dijangka mengambil masa sebulan.
“Diharapkan adik Gonzalez akan dapat diterbangkan ke China dengan segera kelak berkat bantuan dan kerjasama semua,” ujarnya.
Dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini, Persatuan Biliary Atresia Malaysia (BAMA) mengesahkan bahawa mereka bekerjasama dengan PPUM dan Yayasan Nanyang Press untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga ini.
“Semua dokumen yang diperlukan oleh hospital di China telah lengkap. Proses rawatan dijangka mengambil masa kira-kira sebulan. Kami berharap Gonzalez dapat diterbangkan ke Shanghai secepat mungkin dengan sokongan orang ramai serta organisasi yang prihatin,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menyalurkan derma menerusi paparan di dalam poster, untuk maklumat lanjut, hubungi Viviana di talian 010-766 1816.
Oleh Adi Safarman