PILIHAN Raya Negeri (PRN) untuk enam negeri di Semenanjung akan diadakan serentak pada 12 Ogos ini, sekali gus bakal ‘menggegar’ dunia politik tanah air sekali lagi, persis Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan PRU-14 sebelum ini.
Persoalannya kini, adakah Sarawak terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan turut turun padang berkempen untuk rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan seperti mana ajakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini?
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu yang dibuat ketika melakukan lawatan ke Bahagian Sri Aman Ahad lalu, sedikit mengejutkan kerana Sarawak selama ini jarang terlibat secara langsung dalam mana-mana pilihan raya di negeri lain.
“Semasa PRN-12 (Disember 2021), tiada parti-parti sekutu dari Semenanjung yang dijemput berkempen untuk GPS termasuk semasa PRU-15 (November 2022). Ini kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian dan boleh saja membawa implikasi negatif.
“Gelanggang pertarungan politik di Semenanjung sangat berbeza dengan naratif politik Sarawak. Pendekatan dan gaya kempen juga tidak sama. Jadi sejauh mana GPS boleh membantu jika budaya kempen juga jauh berbeza,” kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
PRN kali ini cuma membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Buat pertama kalinya, PRN ini bakal menyaksikan kekuatan Pakatan Harapan (PH) dan BN disepadukan, berdepan Perikatan Nasional (PN) termasuk Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS), dengan harapan masing-masing mahu mempertahankan negeri yang dikuasai atau merampasnya.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu penulis, secara peribadi beliau rasa tiada keperluan untuk GPS terbabit dalam kempen di enam negeri di Semenanjung.
“Isu di sana adalah jauh berbeza daripada apa yang kita lihat di Sarawak. Pemimpin GPS mungkin akan rasa ‘hilang’ jika mereka pergi berkempen di sana,” katanya.
Setakat semalam, GPS terutama PBB belum menyatakan pendirian rasmi sama ada menerima atau menolak permintaan Ahmad Zahid itu. Alasan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatua (UMNO) itu ialah mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen kelak.
Tetapi sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof pernah menyatakan bahawa GPS tidak akan terlibat dalam kempen PRN yang akan diadakan di enam negeri di Semenanjung.
“Ini kerana dari dulu lagi GPS memegang prinsip untuk fokus memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak. Pada masa sama, kita (GPS) menyokong Kerajaan Persekutuan untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat mentadbir negara,” katanya.
SEMANGAT KERAJAAN PERPADUAN
Bagaimana pula semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Bagi Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, gabungan dalam kalangan parti-parti politik membentuk Kerajaan Perpaduan setelah tiada satu parti berupaya membentuk kerajaan secara sendirian.
“Gabungan ini tidak bermakna bahawa parti gabungan mesti bersama setiap masa. GPS tiada cawangan di mana-mana enam negeri itu dan tidak perlu berada di sana walau musim pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Arnold Puyok, pula berpendapat sebaliknya.
Katanya, demi semangat Kerajaan Perpaduan, GPS perlu turun padang berkempen untuk membantu rakan dalam Kerajaan Pusat.
“Dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya sebagai bukti bahawa ia (GPS) serius bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik negara dibawah kerajaan (persekutuan) sekarang,” katanya ketika dihubungi.
Tidak pasti bagaimana pendirian GPS nanti terutama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana menurut Ahmad Zahid, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi untuk membawa tokoh dari GPS bagi membantu kempen di enam negeri.
“Insya-Allah Abang Jo sendiri akan pilih siapa yang akan turun untuk bantu kita dalam PRN nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Simanggang, Ahad lalu.
Kenyataan ini bagaikan memberi tekanan dan dilema kepada GPS dan seperti kata Ahmad Johnie, persoalan ini adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dijawab.
“Ini adalah satu permintaan yang tidak boleh dilihat dengan sebelah mata kerana GPS adalah sebahagian daripada gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan yang harus dipertahankan.
“Datuk Seri Zahid juga sudah tentu ada sebab merayu meminta bantuan sebagai rakan seperjuangan. Bagaimanapun, banyak faktor yang perlu diambil kira,” katanya.
ASINGKAN URUSAN PARTI, KERAJAAN
Beliau berkata, soalan itu memerlukan keputusan bijak kerana apa saja tindakan atau keputusan diambil oleh pucuk kepemimpinan GPS, akan memberi pelbagai persepsi dan tafsiran dalam kalangan massa.
“Pertama, perlu diketahui penyertaan GPS dalam Kerajaan Perpaduan adalah kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan hidup rakyat jelata.
“Kalau ‘kestabilan politik’ menjadi sebab GPS menyokong Kerajaan Perpaduan, apakah alasan ini boleh membenarkan GPS turut sama-sama membantu kempen semasa PRN nanti.
“Kerana ini jelas sekali bukan matlamat penyertaan GPS bersama Kerajaan Perpaduan, sebab urusan politik kepartian biarlah menjadi urusan parti masing-masing.
“Biarlah GPS setia bersama Kerajaan Perpaduan dalam urusan-urusan kerajaan dan terus menyokong segala rang undang-undang yang ingin dilaksanakan termasuk segala dasar kerajaan.
“Kedua, ekosistem politik di Semenanjung tidak sama dengan Sarawak. Isu-isu semasa juga jauh berbeza. Yang nyata di Sarawak tidak wujud isu 3R yang merujuk kepada isu agama, bangsa dan Raja. Mengapi-apikan sentimen perkauman jauh sekali. Jadi naratif apa yang boleh di bawa oleh GPS semasa kempen PRN di sana nanti?,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Johnie yakin pucuk kepemimpinan GPS akan membuat satu keputusan yang terbaik dan bijaksana walaupun sukar dan penuh dilema.
Keadaan ini katanya, adalah seperti peribahasa ‘dipukul lutut sakit, direngkuh siku ngilu’ yang bererti berada dalam keadaan dilema untuk membuat pilihan kerana apa-apa pilihan akan tetap mendatangkan masalah.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak