LIMBANG: Selain durian kampung, Jabatan Pertanian Bahagian (JPB) juga menambah pokok musang king jenis baharu dengan mengagihkan sekitar 60 ribu pokok di bawah Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF) sejak 2019 dan 2020 di Limbang dan Lawas (30 ribu pokok).
Ini berdasarkan permintaan permintaan tinggi terhadap buah durian di negara China.
Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Limbang terkenal dengan pengeluaran durian tempatan (kampung) dan pada masa ini terdapat kira-kira 60 ribu pokok durian kampung matang di bahagian Limbang.
Seterusnya kerajaan Sarawak memperluaskan penanaman dan pengeluaran durian tempatan dan musang king sekali gus memberikan pilihan untuk pelanggan sama ada membeli durian kampung atau musang king yang mempunyai pasaran besar di negara China.
Dr AbduL Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Limbang menyatakan demikian ketika melawat kebun kelapa pandan milik Pemanca Leong Boon Ming di Limpaki dan Projek Pertanian Berkelompok di Kampung Sibukang kelmarin.
Turut mengiringi beliau, Pegawai Pertanian Bahagian (Pembangunan), Jakaria Rambli.
Selain durian, JPB turut menumpukan beberapa tanaman bagi menyokong peranan kemudahan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Limbang dan Lawas.
CPPC ini akan berperanan mengumpul memproses dan membungkus untuk tujuan eksport.
“Kita sudah mengenalpasti tanaman durian, nangka madu, kelapa pandan dan nanas untuk diperluaskan,”ujarnya
Selain itu, pada 2019, JPB memberi bantuan kepada 50 petani dan keluasan kawasan satu hektar bagi setiap petani selain pemberian input termasuk benih.
Malahan pada 2020, seramai 30 peserta telah diberi bantuan.
Tahun ini, JPB menyasarkan untuk membantu 20 peserta melalui program Jabatan Pertanian.
Oleh ADENG EDRUS