
SIBU: Sarawak disarankan untuk mengembangkan kerjasama akademiknya bersama China dan melangkaui program pertukaran pelajar sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Tinggi Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Teo Boon Siew berkata kerjasama tersebut haruslah merangkumi perkongsian penyelidikan dan inisiatif pembelajaran digital.
Menurut beliau, negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun kekal berdaya saing di peringkat global susulan komitmen jangka panjang terhadap pendidikan.
Justeru, Sarawak mesti menggunakan pendekatan sama dengan mengukuhkan hubungan bersama universiti China.
“Untuk Sarawak maju, kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar kita melalui program pertukaran pelajar, biasiswa dan kursus ijazah bersama institusi China.
“Kita mesti memperdalamkan kerjasama akademik, memudahkan pertukaran fakulti dan sarjana dan menerima pendidikan digital dengan membangunkan bersama kursus dalam talian,” katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam Alu-aluan Perkongsian dan Pertukaran Pendidikan Sarawak-China di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Selain itu, Teo turut menekankan kepentingan perkongsian penyelidikan dan penganjuran bersama forum akademik antarabangsa untuk menghimpunkan pakar dari kedua-dua negara demi memupuk inovasi dan pembelajaran silang budaya.
“Saya berharap melalui kerjasama ini, generasi akan datang mempunyai peluang pendidikan yang lebih luas, memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing,” katanya.
Delegasi 25 orang daripada 10 universiti terkemuka China kini berada di Sibu dari 5 hingga 7 Mac di bawah Program Pendidikan Bersama Sarawak-China.
Program tersebut diterajui oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Dato Sri Tiong King Sing, yang bertujuan meluaskan peluang pelajar Sarawak belajar di China.
Sepanjang tempoh berada di Sibu, delegasi itu dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah-sekolah tempatan serta pemimpin pendidikan bagi membincangkan kerjasama jangka panjang dalam pendidikan tinggi.
Antara institusi yang diwakili ialah lima daripada 50 universiti terbaik Asia, termasuk Tianjin University, South China University of Technology, Beijing Institute of Technology, Nankai University, dan Northwestern Polytechnical University.
Sementara itu institusi khusus seperti Shanghai University of Traditional Chinese Medicine, Communication University of China, Civil Aviation University of China, Harbin Engineering University dan Huaqiao University turut terlibat.
Delegasi itu juga akan bertemu dengan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Bersatu Sibu, dan pengerusinya, Datuk Tiong Thai King untuk membincangkan perkembangan di sekolah persendirian Cina dan bidang untuk kerjasama akademik.
Oleh Akun Giman