KUCHING: Kementerian Utiliti telah menetapkan sasaran liputan 100 peratus untuk bekalan air terawat menjelang 2025 di negeri ini.
Menteri Utiliti, Dato’ Sri Stephen Rundi Utom berkata, untuk mencapai sasaran itu sebanyak RM18 bilion telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk pelaksanaan Projek Bekalan Air.
“Pada masa ini keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak adalah 84.1 peratus ini bermaksud kita harus meningkatkan lagi liputan bekalan air untuk mencapai sasaran liputan 100 peratus untuk bekalan air pada 2025.
“Untuk memastikan bahawa kita dapat mencapai sasaran ini, kementerian telah mengenal pasti projek-projek penting dan projek utama yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 sehingga dapat memperluas liputan bekalan air ke lebih banyak kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Utiliti dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak (ABM) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak di Menara LCDA, di sini, semalam.
Dr Rundi berkata, projek bekalan air itu juga termasuk Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air dan melalui program Bekalan Air Alternatif Luar Bandar Sarawak (SAWAS).
“Projek bekalan air ini termasuk Pelan Induk Bekalan air dan Grid Air iaitu penyambungan saluran paip ke komuniti yang dapat dihubungkan dengan sistem rangkaian bekalan air yang ada dan pelaksanaan program Bekalan Air Alternatif Luar Bandar Sarawak (SAWAS) untuk kawasan pedalaman.
“Selain daripada projek-projek ini, kementerian saya juga telah menjalankan program Pengurusan Air Tanpa Hasil (NRW) secara holistik untuk mengurangkan NRW kepada 25 peratus di Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Rundi turut berkata, majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara dua institusi pembelajaran itu merupakan tonggak penting bagi kementerian itu.
“Saya berharap kementerian akan lebih banyak kerjasama dengan institusi-institusi pembelajaran lain di masa hadapan untuk meningkatkan lagi kecekapan dan penyampaian perkhidmatan bekalan air ini adalah kerana kita perlu pekerja mahir yang bertauliah utk menjalankan kerja-kerja penyambungan paip dan juga penyelenggaraan bekalan air.
“Jadi saya berharap kerjasama ini dapat memberikan mempertingkatkan kualiti kerja dalam menyelenggarakan atau melaksanakan projek-projek bekalan air terutamanya di kawasan-kawasan yang agak terpencil di luar bandar,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO