Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pakej ‘Percutian Khas Jururawat’ wajar diperluas ke Kuching dan Miri – Dr. Ngian
  • TEMPATAN

Pakej ‘Percutian Khas Jururawat’ wajar diperluas ke Kuching dan Miri – Dr. Ngian

Utusan Sarawak 10 hours ago
Dr. Ngian Hie Ung semasa Program Minggu Kesedaran Derma Organ di HUS, hari ini.

KUCHING: Pakej pelancongan khas ‘Percutian Khas untuk Jururawat’ yang diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini untuk jururawat di Bintulu dan Sibu wajar diperluaskan kepada jururawat di Kuching dan Miri.

Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Ngian Hie Ung berkata, walaupun inisiatif itu wajar dipuji kerana memberi penghargaan kepada petugas barisan hadapan, ia seharusnya merangkumi semua jururawat di negeri ini yang turut berkorban sepanjang pandemik COVID-19.

“Kalau ditanya, sudah tentu kami amat mengalu-alukan insentif sebegini. Jururawat di Kuching dan Miri juga melalui cabaran yang sama dalam menguruskan pesakit semasa krisis kesihatan negara.

“Jika pakej ini dapat diperluas ke seluruh Sarawak, ia pasti amat menggembirakan serta menjadi penghargaan bermakna buat semua jururawat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Minggu Kesedaran Derma Organ di HUS, hari ini.

Menurut beliau, pengorbanan jururawat semasa pandemik tidak ternilai kerana mereka bukan sahaja berdepan risiko jangkitan, malah terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi tugas menyelamatkan nyawa.

“Jururawat adalah tunjang kepada sistem kesihatan kita. Mereka telah banyak berkorban, bekerja tanpa mengenal penat lelah, dan sentiasa berada di barisan hadapan.

“Sekarang masanya mereka diberikan ruang untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga, serta menikmati penghargaan atas segala sumbangan mereka,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penghargaan sebegini dapat menyuntik semangat baharu kepada jururawat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

“Bila jururawat dihargai, semangat mereka lebih tinggi. Mereka akan rasa usaha mereka diiktiraf dan dihormati. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada jururawat, malah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pesakit,” jelasnya.

Beliau yakin semua jururawat akan menerima insentif tersebut dengan hati terbuka sekiranya ia diperluaskan ke Kuching dan Miri, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan menghargai jasa mereka tanpa mengira lokasi bertugas.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan pakej istimewa ‘Percutian Khas untuk Jururawat’ untuk jururawat di Bintulu dan Sibu sebagai penghargaan atas pengorbanan mereka ketika negara berdepan krisis kesihatan.

Pakej tersebut menawarkan promosi tambang penerbangan sehala serendah RM138 di antara Kuala Lumpur dengan Bintulu atau Sibu, selain kemudahan lain bagi memberi peluang jururawat menikmati percutian bersama keluarga.

Menurut Tiong, inisiatif ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan jururawat, tetapi juga bertujuan memberi ruang kepada mereka untuk berehat selepas melalui tempoh sukar semasa pandemik.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: LPKP Sarawak to enforce strict action against errant commercial vehicle operators
Next: Kebersihan Lebuh Raya Pan Borneo perlu komitmen semua – Nanta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.