DALAM kolum ini, penulis pernah menulis dua kali isu berkaitan ancaman buaya di negeri ini. Pertama disiarkan 9 November tahun lalu, dengan tajuk ‘Apa perlu ‘lindungi’ buaya banyak-banyak? Kemudian, pada keluaran 28 Disember 2023 dengan tajuk ‘Tunggu berapa ramai lagi jadi mangsa buaya? Ini berikutan beberapa kes serangan buaya yang mengorbankan nyawa manusia hingga pemancing dan nelayan sungai takut menjalankan aktiviti di sungai yang selama ini menjadi sumber rezeki. Ini berlaku dari semasa ke semasa.
Tidak perlu mengulangi isi kandungan dua kupasan itu, tetapi memadai dengan tajuk yang menggambarkan kekecewaan orang ramai dan nitizen di media sosial, kerana tidak melihat tindakan lebih tuntas dan konkrit pihak berkuasa untuk menangani masalah ancaman buaya.
Nitizen kerap mengkritik dan menyindir sebarang kenyataan pihak berkuasa yang seolah-olah masih terus mahu ‘melindungi’ buaya. “Mengapa tidak pihak berkuasa beri sahaja lesen kepada sesiapa yang mahu memburu buaya? Kan lebih bagus, bunuh sahaja bila jumpa buaya”’ Itu antara komen nitizen apabila ada isu buaya menyerang manusia dipaparkan di Facebook Utusan Sarawak.
Komen lain ialah “mengapa tidak dihadkan jumlah buaya, contoh sekitar 1,000 ekor sahaja tetapi dilindungi sepenuhnya di kawasan khas hidupan liar. Buru semua yang ada di sungai-sungai, jual untuk tujuan komersial, jadikan Sarawak terkenal dengan industri hiliran berasaskan produk kulit buaya daripada kasut, tali pinggang, dompet, beg tangan dan sebagainya.”
Penulis tertarik dengan satu komen nitizen yang berbunyi: “Tapi ku sik faham kenak buaya masih perlu dilindungi… Apa faedahnya? Kan lagi bagus manusia dilindungi, daripada melindungi buaya.”
Hakikatnya begitulah. Bayangkan sungai yang menjadi lokasi kanak-kanak terjun dan berenang dahulu kala, kini sudah menjadi tempat buaya ‘bersemayam’. Sungai yang dahulunya tempat mencari rezeki dengan menjala udang dan memancing ikan sudah ‘menakutkan’ orang kampung kerana kelibat Sang Bedal kerap dilihat ke hulu dan ke hilir di permukaan sungai.
Setakat ini, Sarawak hanya ada empat penempatan khusus untuk buaya iaitu Jong Crocodile Farm Kuching, Miri Crocodile Farm, Pusat Hidupan Liar Sibuti dan Pusat Hidupan Liar Matang.
Angka rasmi 25,000 ekor buaya
Mengikut angka rasmi yang diberitahu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Sarawak kini mempunyai sekitar 25,000 ekor buaya berbanding 13,500 ekor pada 2014. Antara kawasan tumpuan bagi buaya ini adalah di Sungai Bako, Batang Lupar, Batang Sadong dan juga di Sibuti, berdasarkan bancian pemantauan. Angka rasmi sekitar 25,000 ekor buaya sekarang pun agak menakutkan.
Berdasarkan statistik yang diberi oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman sebelum ini, pada 2023 tiga mangsa dibaham buaya iaitu di Samariang, Kuching; Oya/Dalat dan Skrang di Betong.
Menurutnya, dalam tempoh 2018 hingga 2023, seramai 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak. Jumlah tertinggi direkodkan pada 2021 apabila seramai sembilan mangsa disambar buaya, diikuti 2020 seramai lapan orang, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1).
Bukan untuk menyalahkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab, tetapi rakyat mahu diyakinkan apakah langkah konkrit untuk mengurangkan jumlah populasi buaya di negeri ini. Isu ini kerap timbul apabila ada kes serangan buaya terhadap manusia.
Kehadiran buaya sekarang bukan sahaja di sungai malah dalam parit di kawasan perumahan di bandar. Malah, ada sungai yang tidak pernah wujud reptila ganas itu 10 atau 20 tahun lalu, kini sudah kelihatan kelibatnya di permukaan air dan tebing sungai.
Kehadiran Sang Bedal di banyak tempat itu dikaitkan dengan kurangnya pergerakan bot termasuk bot ekspres dan bot laju di sungai berikutan wujud rangkaian jalan raya pesisir, jalan kampung dan Lebuh Raya Pan Borneo.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, pihaknya berusaha untuk mengatur strategi pengurusan populasi buaya yang lebih berkesan, selaras dengan amalan pemuliharaan terbaik. Bagi tujuan itu, SFC sedang bekerjasama dengan agensi-agensi lain dan pakar ekologi untuk menilai dan mengatur strategi itu.
Langkah proaktif
“SFC telah menjalankan pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan kes serangan buaya terhadap manusia. Antaranya, ialah meningkatkan pemantauan terhadap habitat buaya, menjalankan operasi tangkapan buaya di kawasan berisiko tinggi, serta melaksanakan program kesedaran komuniti untuk mendidik orang ramai mengenai cara-cara berinteraksi dengan alam sekitar secara selamat.
“Keselamatan komuniti adalah keutamaan kami, dan kami komited dalam mengambil segala langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko yang disebabkan oleh buaya,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Abang Arabi berkata, berikutan itu SFC kini giat memperkasakan langkah bagi memastikan keselamatan masyarakat kekal terjamin. Beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya yang sering melakukan aktiviti di kawasan dikhuatiri menjadi habitat buaya, agar sentiasa berhati-hati bagi menjaga keselamatan diri.
Katanya, Operasi Nyah Buaya yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC sentiasa dijalankan mengikut perancangan tahunan yang telah dibuat. Pasukan SWAT katanya, akan sentiasa bersedia apabila menerima aduan daripada orang awam mengenai kewujudan dan serangan buaya.
Adakah buaya haiwan dilindungi hingga mereka yang membunuhnya boleh didakwa?
Hakikatnya, buaya bukan lagi haiwan dilindungi sepenuhnya apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan, pada Oktober 2016 membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.
Laporan sebelum ini menyebut keputusan CITES itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu Datuk Seri Azizan Ahmad yang menghadiri konvensyen berkenaan di Afrika Selatan, kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Laporan media ketika itu memetik Wan Junaidi sebagai berkata, berikutan keputusan itu buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.
“Keputusan itu hanya membabitkan isu pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di Sarawak manakala di Semenanjung dan Sabah, belum ada sebarang kajian dibuat mengenainya,” katanya.
Menurut Wan Junaidi lagi, antara yang dibincangkan dengan kerajaan Sarawak ialah pemberian lesen kepada penduduk kampung untuk memburu buaya kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kita tidak mahu lesen pemburuan itu diberikan kepada syarikat besar sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia,” katanya lapan tahun lalu.
Sejak itu tidak dengar lagi perkembangan seterusnya. Yang kita selalu dengar, sebarang penemuan atau tangkapan buaya, perlu dilaporkan kepada SFC. Itu sahaja.
Menurut laporan media pada 2019, pihak Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sudah mengeluarkan sebanyak 60 lesen memburu buaya dikeluarkan sejak 2017. Ia menyebut pengeluaran lesen pemburuan dan penjualan buaya bertujuan mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya terhadap manusia. Inisiatif itu turut membantu mewujudkan sumber pendapatan bagi masyarakat setempat, terutama di kawasan sungai dikenal pasti memiliki kepadatan buaya yang tinggi.
Apa yang diharapkan ialah langkah lebih tegas sebagai langkah mengawal peningkatan populasi buaya bagi mengelakkan wujud konflik dengan manusia di negeri ini.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.