PUTRAJAYA: Penjawat awam kini tidak lagi boleh bersikap “jangan jaga tepi kain orang” tetapi perlu ambil tahu dan peduli dengan perlakuan rakan di tempat kerja bagi mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.
“Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan kita akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.
“Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian semalam.
Menurut Mohd Khairul Adib, sepanjang tahun lepas, ada penjawat awam ditangkap dan dituduh kerana rasuah dan salah guna kuasa antaranya berkaitan isu kad pengenalan, kelonggaran kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, malahan kita patut sama-sama menjaga dan memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita. Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan terus menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi, dan akhirnya negara kita yang akan rosak binasa,” katanya.
Mohd Khairul Adib dalam amanatnya turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa meningkatkan integriti diri dan menjauhkan diri daripada gejala rasuah serta ketirisan amanah dan integriti; ambil tahu dan ambil peduli; serta memperkemaskan sistem dan prosedur kerja.
“Sekiranya kita sedar dan tahu tentang sebarang isu rasuah, atau sebarang bibit-bibit ke arah kerja yang tidak amanah, kita ada pilihan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.
“Kita boleh memberi nasihat sekiranya ia melibatkan orang yang kita kenal atau rakan sekerja kita. Jika kes yang kita lihat adalah serius atau melibatkan mereka yang kita tidak kenali, kita boleh membuat laporan sama ada kepada ketua jabatan atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.
Mohd Khairul Adib juga berkata, penjawat awam tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.
Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata setiap organisasi perlu memperkemaskan sistem dan prosedur kerja kerana proses yang panjang, tiada ketelusan dalam membuat keputusan, polisi yang tidak sesuai dan lapuk, merupakan antara masalah birokrasi yang dihadapi di tempat kerja.
“Kenapa saya sering menekankan isu kepantasan dan profesionalisme dalam membuat keputusan adalah kerana ia berkait rapat dengan isu integriti.
“Isu birokrasi adalah antara faktor yang akan menyebabkan berlakunya salah laku, seperti mahu kelulusan yang cepat bagi permit pendatang asing. Ada pegawai yang menerima rasuah atas balasan mempercepatkan proses sesuatu permohonan.
“Justeru, kita harus sama-sama memikirkan bagaimana untuk memudahkan proses dan prosedur kerja kita tanpa kompromi daripada segi keselamatan dan undang-undang. Kita tutup ruang daripada berlakunya salah guna kuasa pegawai-pegawai pelulus ini,” katanya.-Bernama