KUCHING: Lebih banyak syarikat tempatan perlu bagi menyumbang kepada perkembangan industri francais negara serta Perusahaan Kecil dan Sedernana (PKS).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat ini ada 11 syarikat francais dengan pelbagai jenama berasal dari Sarawak yang menempa nama di peringkat nasional.
“Syarikat ini merangkumi pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, kesihatan, kecantikan dan perkhidmatan.
“Saya berharap akan wujud lebih ramai lagi pemain industri francais dari Sarawak untuk sama-sama memeriahkan lagi industri francais negara,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Karnival Barangan Malaysia ‘Juh Sapot Beli Barang Lokal’ di Kuching Waterfront malam ini.
Abang Johari berkata pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak bagi membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk keluaran Bumi Kenyalang.
“Ini termasuk melalui pembangunan produk mahupun dengan melibatkan usahawan tempatan dalam program jualan seumpama ini,”katanya.
Katanya, terdapat beberapa inisiatif disediakan kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED) negeri untuk membangunkan PKS di Sarawak.
Antaranya adalah bantuan kewangan merangkumi Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) bagi membantu PKS dalam sektor pembuatan, perkilangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat yang menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000.
“Kemudahan pinjaman alternatif yang mudah kepada PKS Bumiputera Sarawak sehingga RM50,000 turut disediakan melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS),” katanya.
Abang Johari berkata Program Go Digital dengan nilai maksimum RM10,000 turut disediakan bagi menggalakkan PKS menceburi bidang keusahawanan digital.
“PKS turut menyumbang kepada nilai eksport keseluruhan negara saban tahun dan nilainya bukanlah kecil.
“Ini membuktikan bahawa PKS bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara malah turut mendapat tempat di pasaran luar.
“Bukan sahaja PKS, malah industri francais di negara ini juga berkembang pesat dengan jumlah pendaftaran sebanyak 1,149 syarikat francaisor yang telah didaftarkan di bawah Akta Francais 1998.
“Malah bilangan ‘outlet’ yang telah dibuka di dalam negara pada 2021 adalah sebanyak 13,779 di mana berlaku peningkatan sebanyak 47 peratus dari 2020.
“Kita yakin produk tempatan kualitinya adalah setanding atau lebih baik berbanding produk antarabangsa,” katanya.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi.