Perlu ada jaminan, perjanjian baharu bayaran interim

Facebook
WhatsApp

ISU pembayaran interim untuk Sarawak dan Sabah, perlu ada jaminan dan perjanjian terikat dengan Kerajaan Persekutuan serta diberikan tempoh tertentu untuk menunaikannya.

Ini kerana sebarang perubahan kepemimpinan dan parti yang memerintah di Putrajaya wajib menunaikannya seperti dalam ‘perjanjian terikat’ tidak kira siapa yang jadi Perdana Menteri selepas ini.

Tanpa perjanjian terikat walaupun ia tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dikhuatiri ia boleh diketepikan atau dilambat-lambatkan andai berlaku ‘pergeseran’ antara Kerajaan Persekutuan dan negeri pada masa akan datang.

Ini di sebalik hakikat bahawa apa-apa tuntutan di bawah MA63 wajib ditunai tetapi sejarah mengajar kita tuntutan itu hanya ditunaikan ikut ‘selera politik semasa’ Putrajaya.

Bayangkan, banyak tahun bayaran itu tidak ditunai oleh Kerajaan Persekutuan selama ini. Butirannya seperti berikut:

Berdasarkan MA63 yang ditandatangani 63 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah atas nama ‘pemberian khas’.

Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.

Bayaran terhenti

Bayaran pertama dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, dan RM26.7 juta untuk Sabah.

Namun, selepas itu bayaran ini dihentikan. Tiada alasan diberi, sekurang-kurangnya secara rasmi, terus senyap dan sepi.

Dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ pada 16 September 2023 iaitu kira-kira empat bulan sebelum pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri buat kali pertama mendedahkan isu ini dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pemimpin Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Pada program itulah Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mendedahkan Sarawak dan Sabah banyak tahun tidak diberi pemberian khas tahunan meskipun sudah termaktub dalam MA63.

“Pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta tetapi selepas itu dihentikan,” katanya pada program yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia 2023.

Sambungnya lagi: “Jumlah itu mungkin mencecah berbilion-bilion sekarang. Kami (Sarawak) telah kehilangan berbilion-bilion sejak 1969.

“Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali,” katanya.

Pampasan

Kita tidak mahu lihat isu ini bagaikan permainan catur. Jika negeri jadi ‘kingmaker’ bila ada kuasa tawar menawar, maka ditunaikanlah. Jika tidak, isu ini bagaikan hangus begitu sahaja.

Di sini timbul persoalan, apakah Sarawak perlu tuntut pampasan atau bayaran balik daripada Kerajaan Persekutuan pada tempoh banyak tahun tidak berbayar bayaran khas itu?

Jangan ingat Sarawak banyak duit, maka tiada keperluan segera untuk membayar bayaran khas?

Sarawak masih perlu banyak pembangunan. Hasil negeri antara RM12 bilion hingga RM14 bilion setahun sejak kebelakangan ini masih belum cukup. Jalan masuk ke pedalaman dan kampung di luar bandar perlu dibina atau dinaik taraf untuk jalan bertar, kemudahan bekalan air dan elektrik masih banyak diperlukan dan banyak kawasan yang internetnya ‘naik turun’.

Begitu juga dengan sekolah daif, balai polis lama, klinik kesihatan, kekangan doktor/jururawat di hospital- semuanya di bawah Persekutuan.

Malah peruntukan tahunan untuk Sarawak dan Sabah, tidak boleh disamakan dengan negeri lain, dengan hampir semua kereta di kampung-kampung di sana boleh sampai ke tangga rumah. Tetapi di kawasan luar bandar/pedalaman Sarawak masih banyak tempat menggunakan perahu, ada kenderaan terpaksa diletakkan di seberang kampung atau rumah panjang, nescaya masih banyak jambatan kecil dan sederhana besar perlu dibina.

Namun, kita bersyukur apabila kerajaan Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk membina 16 jambatan utama membabitkan kos RM5.9 bilion.

Kita berharap bayaran khas atau interim ini tidak dilengahkan lagi. Itu hak Sarawak dan Sabah, mengapa perlu kita bagaikan mengemis seperti meminta sedekah sedangkan ia sudah termaktub dalam MA63.

Sabah baru-baru ini mendapat RM1.5 bilion pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi tahun ini, tetapi Sarawak kekal RM600 juta mulai tahun lalu, berbanding RM300 juta sejak November 2023.

Bayaran interim RM600 juta setahun itu untuk Sarawak pula adalah bagi tempoh lima tahun akan datang. Tempoh interim yang dianggap ‘terlalu lama’.

Oleh itu, perlu ada perjanjian terikat mengenai pemberian khas ini.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Sejarah penduduk Kuching

PADA hari ini, Kuching dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum. Kepelbagaian kaum ini bukan sahaja tidak menghalang perkembangan bandar raya tersebut,

AirBorneo disaran sedia Wi-Fi dalam pesawat

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, mempertimbangkan pemasangan