Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Perletakan jawatan Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai
  • NASIONAL

Perletakan jawatan Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai

Utusan Sarawak 2 days ago

Nik Nazmi

KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai depan. 

Nik Nazmi dalam satu kenyataan memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025,” katanya.

Nik Nazmi, 43, berkata sejak menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 dan kemudian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

Antara kejayaan dicapai ialah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Nik Nazmi berkata kegagalan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini telah mendorong beliau memutuskan melepaskan jawatan sebagai Menteri.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat yang banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang,” katanya.

Nik Nazmi berkata tumpuan beliau kini adalah untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.

Pada pemilihan PKR minggu lepas, Nik Nazmi tewas dalam persaingan yang ditandingi 11 calon.

Jawatan berkenaan dimenangi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

— BERNAMA

Continue Reading

Previous: Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun 2025
Next: PM lulus permohonan cuti Rafizi, Nik Nazmi, keputusan diumumkan kemudian – PMO 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.