RAJA Vyner Brooke bersama keluarga.
SEBELUM merdeka, Sarawak sebenarnya telah mempunyai perlembagaannya sendiri. Perlembagaan ini dibentuk semasa Raja Vyner Brooke memerintah Sarawak. Dari aspek isi kandungannya perlembagaan ini dibentuk untuk kepentingan rakyat Sarawak pada masa hadapan.
Namun demikian, pembentukan perlembagaan ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan perkara lain. Hal ini dapat dikenal pasti dengan adanya beberapa isu timbul dalam keluarga Raja Vyner Brooke.
Soal keluarga
Pertama ia dikaitkan dengan tekanan kewangan daripada isteri Raja Vyner Brooke dan dua anak perempuannya iaitu Elizabeth dan Valerie. Salah seorang orang kepercayaan Raja Vyner Brooke iaitu MacBryan mencadangkan agar mengeluarkan sejumlah wang daripada perbendaharaan Sarawak untuk disimpan dalam tabung amanah di England. Wang ini akan menyokong perbelanjaan isteri dan anak-anak beliau nanti.
Cecil Pitt-Hardace melihat cadangan ini tidak sesuai dilaksanakan. Beliau menyarankan agar satu jaminan kepada cadangan ini seperti diwujudkan perlembagaan. Raja Vyner Brook bersetuju dengan cadangan ini menerusi satu rundingan dan persetujuan yang melibatkan perjanjian sulit antara Raja Vyner Brooke dan empat ahli Jawatankuasa Pentadbiran.
Kedua pula adalah isu penggantian raja. Raja Vyner Brooke tidak mempunyai anak lelaki untuk mewarisi takhta kerajaan. Oleh itu takhta kerajaan akan jatuh kepada anak buah beliau iaitu Anthony Brooke. Raja Vyner Brooke pula merasa sangsi untuk memberi kepercayaan ini kepada Anthony Brooke. Dua sebab ini membawa kepada perlunya perlembagaan ini diwujudkan.
Sementara itu hari pengisytiharan perlembagaan ini juga mempunyai simbol penting. Ini kerana ia menandakan sempena 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak. Ia juga menandakan tamatnya pemerintahan monarki mutlak Raja Brooke di Sarawak.
Pemerintahan Monarki
Sebelum pergi jauh dalam hal ini perlu diketahui bahawa sistem pemerintahan kerajaan Brooke berdasarkan sistem monarki. Pemerintahannya bersifat autokratik dengan dibantu oleh sebuah majlis iaitu Majlis Tertinggi (Supreme Council).
Tiada sebuah badan perundangan ketika itu. Manakala Council Negeri yang diwujudkan pada tahun 1867 pula hanya sebuah badan mendengar aduan dan masalah masyarakat di Sarawak. Raja pula akan mengeluarkan arahan sebagai peraturan negeri dari masa ke semasa. Peranan penduduk tempatan pula adalah terhad sebagai penasihat dan pentadbir kerajaan Brooke.
Hasrat untuk menamatkan pemerintahan mutlak keluarga Brooke ini dibuat oleh Raja Vyner Brooke pada 31 Mac 1941. Dalam hal ini menurut Raja Vyner Brooke bahawa Raja James Brooke tidak berniat untuk mewujudkan pemerintahan yang mutlak. Apa yang lebih utama ketika itu adalah usaha untuk melindungi penduduk pribumi Sarawak yang ketinggalan dan mengelak penduduk Sarawak daripada dieksploitasi dan penindasan. Beliau menambahkan lagi apabila masa sesuai maka penduduk Sarawak diberi hak untuk memerintah sendiri.
Raja Vyner Brooke juga menegaskan bahawa idea tentang kerajaan berperwakilan di Sarawak bukan idea beliau. Beliau menyatakan bahawa Raja James Brooke sejak 1865 mempunyai idea untuk rakyat Sarawak sendiri memerintah Sarawak.
Jawatankuasa
Dalam ucapannya Raja Vyner Brooke percaya bahawa dalam proses memberi rakyat Sarawak berkerjaan sendiri maka beberapa proses perlu dilakukan seperti pembentukan sebuah badan perundangan. Beliau juga berharap agar penduduk Sarawak akan mempunyai perwakilan dalam dewan ini.
Untuk sementara waktu Jawatankuasa Pentadbiran diberi tugas untuk menjalankan usaha mendrafkan perlembagaan tersebut. Jawatankuasa ini terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, J. Beville Archer, Cyril Drummond Le Gros Clark, Thomas Corson, James Gordon Anderson dan Cecil Pitt-Hardace.
Salah satu perkara penting ditekankan oleh Raja Vyner Brooke adalah soal pewaris takhta kerajaan. Beliau menyatakan bahawa waris takhta kerajaan akan diserahkan kepada adik beliau iaitu Bertram Brooke.
Pengisytiharan
Pada 24 September 1941 iaitu tepat 100 tahun pemerintahan Raja Brooke di Sarawak, perlembagaan itu telah diisytiharkan. Pengisytiharan ini dibuat sebelah pagi dengan tembakan hormat sebanyak 100 kali. Upacara pengisytiharan itu dibuat penuh istiadat dengan adanya perbarisan tentera India dan anggota polis Sarawak serta Sarawak Ranger.
Beliau dalam hal ini telah bersetuju menyerahkan kuasa perundangan beliau kepada badan ini secara sukarela. J B Archer telah dilantik sebagai pegawai tadbir menerusi arahan Raja Vyner Brooke. Pada hari pengisytiharan tersebut beberapa kenamaan dijemput termasuk Gabenor Negeri-negeri Selat yang diwakili oleh J J Sheehan.
Apabila perlembagaan ini diumumkan, kuasa pentadbiran telah diserahkan kepada Majli Tertinggi (Supreme Council). Majlis ini pula mengandungi 25 ahli dan akan diberi kuasa dalam mengurus perbelanjaan bermula pada 1 Januari 1942.
Pelaksaan perlembagaan baharu ini mendapat ucapan tahniah dan maju jaya daripada Raja England, Raja George VI. Setiausaha Tanah Jajahan Britis iaitu Lord Moyne juga merakamkan ucapan yang sama dan berharap pemerintahan kerajaan Raja Vyner Brooke akan membawa kepada kemakmuran kepada rakyat Sarawak.
Sempena pembentukan perlembagaan baharu ini, Raja Vyner Brooke menganugerahkan bintang perkhidmatan lama dan kesetiaan kepada kakitangan kerajaan dan beberapa orang pemimpin tempatan. Pada istiadat penganugerahan ini J B Archerdan Datu Patinggi Abang Abdullah mengetuai penerimaan pingat itu. Dalam upacara penganugerahan itu juga seramai 11 orang telah menerima pingat masing-masing.
Kandungan
Dalam aspek kandungan perlembagaan ini ia menyentuh sembilan perkara atau cardinal. Daripada sembilan perkara tersebut dua perkara yang penting menyentuh masa depan penduduk Sarawak.
Pertama adalah Perkara 2 yang menyentuh soal sosial dan pendidikan penduduk Sarawak akan ditingkatkan. Manakala kedua pula adalah Perkara 8. Perkara 8 ini menyentuh soal matlamat ke arah berkerajaan sendiri.
Untuk melaksanakan dua perkara ini Raja Vyner Brooke berazam untuk memberi kepercayaan kepada penduduk Sarawak dalam soal pemerintahan ini. Manakala usaha berterusan untuk mempercepatkan matlamat ini dengan memberi pendidikan tentang tanggungjawab dan hak watan dalam kalangan penduduk Sarawak.
Dalam usaha memenuhi matlamat perlembagaan ini tercapai, ia telah terganggu apabila Jepun menyerang Sarawak. Akhirnya matlamat ini gagal dicapai dan kedudukan Sarawak selepas perang pula semakin merosot apabila menjadi tanah jajahan mahkota British.
- Dr Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).