SKUAD Sarawak United FC yang berentap pada Kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) 2022, akan memanfaatkan sepenuhnya perlawanan pramusim itu bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super musim ini.
Ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan berkata kejohanan Piala SMJ adalah ruang baginya melihat sekali gus menilai prestasi pasukannya untuk menambah baik kualiti persembahan para pemain.
Katanya pada perlawanan itu nanti, skuadnya akan ditentang oleh dua pasukan yang beraksi di Liga Super iaitu Kedah Darul Aman serta Sabah FC selain cabaran daripada Kelantan yang beraksi di Liga Premier.
“Kita menyifatkan kejohanan tersebut merupakan medium terbaik bagi menguji kemampuan penuh skuad Sarawak United selain sebagai satu langkah proaktif yang berjaya dibuat skuad ini untuk menjimatkan kos.
“Menerusi kejohanan ini juga, kita tidak perlu ke serata negeri atau luar negara yang pastinya menelan kos tinggi, selain juga berharap kejohanan tersebut dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan menampilkan kelab hebat di negara ini,” ujarnya.
Elavarasan juga berkata mengenai pentingnya kejohanan itu untuk melihat keserasian para pemain skuad Kenyalang Emas itu dan langkah terbaik sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini yang bakal berlangsung bulan depan.
Adalah dijangkakan bahawa kesemua kelab yang bertanding di dalam kejohanan piala tersebut akan menggunakan peluang tersebut untuk menguji keserasian pemain mereka bagi persediaan mengharungi Liga Malaysia kelak.
Sarawak United kini memiliki barisan pemain yang cukup ampuh oleh ramai pemerhati bola sepak susulan barisan pemain dan kejurulatihannya yang dianggap berkualiti dan berkemampuan.
Dalam pada itu, Sarawak United yang sepatutnya menentang Kedah Darul Aman pada petang Sabtu lalu, ditunda perlawanan ke hari semalam diatas faktor hujang pebat berterusan hingga ke malam.
Selepas menentang Kedah Darul Aman, skuad Elavarasan akan menentang Sabah FC pada 15 Februari dan akhir sekali Kelantan United pada 18 Februari dalam aksi SMJ Cup 2022.