
SIBU: Kelab Pickleball Northern Seahorse dan Kelab Pickleball Lanang telah menganjurkan perlawanan persahabatan di kompleks sukan MyCentre di sini, bertujuan mengeratkan hubungan serta memperkenalkan sukan pickleball kepada masyarakat setempat.
Presiden Kelab Pickleball Northern Seahorse, Raymond Guan Zhen Wee, menyatakan bahawa perlawanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu platform untuk membina persahabatan dan mengukuhkan komuniti pickleball.
“Acara ini mengumpulkan pemain dari pelbagai peringkat kemahiran dalam kategori beregu dan perseorangan. Suasana berlangsung dengan penuh keceriaan, disertai sorakan dan gelak tawa ketika para peserta bersaing dalam suasana santai tetapi tetap bersemangat.
“Kami ingin menjadikan pickleball bukan sekadar sukan, tetapi juga sebagai aktiviti yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Kelab Pickleball Lanang, Daniel Iing Shii Ngie, turut menghargai penganjuran acara ini dan gembira melihat sambutan menggalakkan daripada para pemain.
“Perlawanan seperti ini memberikan peluang kepada ahli kelab untuk meningkatkan kemahiran mereka sambil menikmati keseronokan bermain pickleball,” ujarnya.
Selain perlawanan, sesi latihan tidak formal turut diadakan bagi membolehkan pemain berpengalaman berkongsi tip dan teknik dengan peserta baharu serta peringkat pertengahan.
Walaupun tiada pemenang diumumkan, semua peserta berpuas hati dengan pengalaman yang diperoleh serta peluang untuk mengenali rakan baharu.
Kedua-dua kelab turut berhasrat untuk terus bekerjasama dalam penganjuran acara seterusnya bagi mengembangkan sukan pickleball di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Oleh Tarani Lanting