Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • ‘Perlawanan hebat, tetapi bukan keputusan yang kami mahukan’ – Slot
  • SUKAN

‘Perlawanan hebat, tetapi bukan keputusan yang kami mahukan’ – Slot

Utusan Sarawak 16 hours ago

Pemain Brighton, Kaoru Mitoma (kiri) menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Stadium Amex, Brighton. - Foto AFP

BRIGHTON: Pemain Brighton, Jack Hinshelwood memastikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool, awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak menang sejak menjulang kejuaraan.

Pasukan bimbingan Arne Slot mendahului menerusi jaringan awal Harvey Elliott sebelum Yasin Ayari menyamakan kedudukan di Stadium Amex.

Dominik Szoboszlai mengembalikan kelebihan kepada Liverpool sejurus sebelum rehat, namun Brighton bangkit di lewat permainan apabila Kaoru Mitoma menyamakan kedudukan sebelum Hinshelwood yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol dengan sentuhan pertamanya.

Liverpool hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan sejak kemenangan besar mereka ke atas Tottenham pada 27 April yang mengesahkan kejuaraan EPL.

The Reds tewas kepada Brighton dan Chelsea serta melepaskan kelebihan dua gol dalam keputusan seri menentang Arsenal selepas mengesahkan kejuaraan liga utama Inggeris ke-20 mereka yang menyamai rekod dicatatkan Manchester United.

Kini mereka boleh menantikan upacara penerimaan trofi EPL dalam perlawanan penutup musim menentang juara Piala FA, Crystal Palace di Anfield pada Ahad ini, sebelum perarakan dengan bas terbuka di seluruh bandar 24 jam kemudian.

“Perlawanan hebat, tetapi bukan keputusan yang kami mahukan,” kata Slot.

“Kalau anda tak jaringkan gol ketiga, memang sukar untuk menang di tahap ini terutama di tempat lawan. Kami tak boleh mensia-siakan peluang seperti itu kalau mahu menang.

“Saya sudah kenal pemain ini selama 10 bulan, jadi ini bukan kali pertama saya menilai mereka, tapi seronok melihat Harvey menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan.

“Federico Chiesa ada beberapa detik menarik memandangkan dia sudah lama tidak beraksi.”

Slot sebelum ini mengakui memberi motivasi kepada pasukannya yang sudah bergelar juara untuk dua perlawanan terakhir musim ini adalah cabaran berat dan kebimbangan itu ternyata berasas selepas aksi hambar itu.

Anak buah Slot baru sahaja pulang daripada lawatan meraikan kejuaraan di Dubai, minggu ini dan hanya kembali menjalani latihan pada Jumaat.

Malah, jurulatih itu dilihat berpesta di Ibiza selama beberapa hari bagi meraikan kejayaan yang dicapai pada April lalu.

“Anda nampak saya di media sosial!” jawab Slot sambil ketawa apabila ditanya sejauh mana fokusnya terhadap perlawanan menentang Brighton.

Menjelang perpindahannya ke Real Madrid yang dijangka berlaku sebaik kontraknya tamat pada akhir musim ini, Trent Alexander-Arnold diletakkan di bangku simpanan buat kali kedua berturut-turut.

Sebaliknya, Conor Bradley diturunkan di posisi bek kanan dan menunjukkan mengapa dia layak dipertimbangkan untuk menggantikan Alexander-Arnold menerusi peranannya dalam gol pembukaan Liverpool pada minit kesembilan.

Apabila Mohamed Salah menghantar bola kepada Bradley, dia segera meningkatkan kelajuan dengan larian bertenaga ke kawasan Brighton sebelum menghantar hantaran tepat kepada Elliott, yang menyudahkan dari jarak dekat.

Gol itu menyaksikan Liverpool menjaringkan gol dalam setiap perlawanan liga di tempat lawan buat kali pertama dalam sejarah mereka. – AFP

Continue Reading

Previous: Aaron-Soh beregu matang, mampu lakar kejayaan lebih besar
Next: Sarawak wakili semua kategori di KMTK 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.