Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KEMALANGAN
  • Perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol ragut 21 nyawa, lebih 70 cedera
  • KEMALANGAN

Perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol ragut 21 nyawa, lebih 70 cedera

Utusan Sarawak 5 hours ago
KEMALANGAN… Anggota kecemasan menjalankan operasi selepas kemalangan kereta api di Adamuz, selatan Sepanyol, semalam. Foto AFP

MADRID, Sepanyol: Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala lebih 70 yang lain cedera dalam satu perlanggaran melibatkan dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol semalam, menurut pihak berkuasa kecemasan.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta api laju yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz, Wilayah Cordoba, sebelum memasuki landasan bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta api yang datang dari arah berlawanan.

Kedua-dua kereta api terbabit dilaporkan tergelincir akibat perlanggaran itu, menurut Pengendali Infrastruktur Rel Negara, Adif.

Jurucakap polis pada awalnya melaporkan lima kematian, namun angka korban kemudiannya disemak kepada 21 orang. Ketua Perkhidmatan Kecemasan Wilayah Andalusia, Antonio Sanz, berkata sekurang-kurangnya 73 individu mengalami kecederaan, manakala laporan media tempatan menyatakan jumlah mangsa cedera mungkin meningkat sehingga 100 orang berikutan beberapa penumpang masih terperangkap di dalam gerabak.

KEMALANGAN… Anggota kecemasan menjalankan operasi selepas kemalangan kereta api di Adamuz, selatan Sepanyol, semalam. Foto AFP

Ketua Bomba Cordoba, Francisco Carmona, berkata operasi menyelamat berdepan kesukaran kerana keadaan gerabak yang remuk dan berpintal. Beliau memaklumkan pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan mangsa yang telah meninggal dunia bagi membolehkan mangsa lain yang masih hidup diselamatkan.

Rakaman menunjukkan pasukan perubatan dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala saksi memaklumkan salah sebuah gerabak terbalik sepenuhnya. Seorang wartawan penyiar awam RNE yang berada di dalam salah satu kereta api menyifatkan hentaman itu seperti gempa bumi, dengan penumpang terpaksa memecahkan tingkap menggunakan tukul kecemasan untuk menyelamatkan diri.

Seorang penumpang, Lucas Meriako, berkata kejadian itu ‘seperti babak filem seram’, sambil menggambarkan hentaman kuat dari belakang dan kekecohan akibat serpihan kaca yang mencederakan ramai penumpang.

Media tempatan melaporkan kira-kira 400 penumpang berada di kedua-dua kereta api semasa kejadian.

Adif mengumumkan semua perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan beberapa bandar utama Andalusia termasuk Cordoba, Seville, Malaga dan Huelva digantung sekurang-kurangnya sehingga hari ini. Pusat bantuan turut dibuka di beberapa stesen utama bagi membantu ahli keluarga mangsa.

Istana Diraja Sepanyol memaklumkan Raja Felipe VI dan Permaisuri Letizia menzahirkan rasa dukacita mendalam serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, selain mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera.

Sepanyol memiliki rangkaian kereta api berkelajuan tinggi terbesar di Eropah, meliputi lebih 3,000 kilometer (km) landasan khas yang menghubungkan bandar-bandar utama negara itu.

-AFP

Tags: kemalangan

Continue Reading

Previous: Kereta terbabas langgar pagar sekolah, seorang cedera ringan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.