
BATU KAWA: Usaha memperkukuh sokongan terhadap pendidikan dan kebajikan golongan autisme di Sarawak terus diperkasa menerusi pelancaran serta penyerahan sebuah van 10 tempat duduk kepada Persatuan Autisme Kuching (KAA).
Penyerahan van tersebut diadakan sempena Majlis Pelancaran dan Penyerahan Van Rasmi Persatuan Autisme Kuching yang berlangsung di KAA Pendidikan dan Pusat Latihan Vokasional, Jalan Desa Wira Lorong 15, Batu Kawa, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, yang menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai satu pelaburan penting dalam aspek mobiliti, peluang dan harapan untuk kanak-kanak autisme serta keluarga mereka.

Menurut beliau, golongan autisme tidak pernah memilih untuk berada dalam keadaan sedemikian, namun masyarakat mempunyai pilihan untuk tampil bersama dan melakukan sesuatu yang bermakna demi kesejahteraan mereka.
“Tiada siapa memilih untuk menjadi austistik. Tetapi kita memilih untuk bersama-sama melakukan sesuatu untuk mereka, dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan, bagi membuat perbezaan kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, van tersebut bukan sekadar sebuah kenderaan, sebaliknya melambangkan akses kepada pendidikan, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan serta usaha memastikan golongan autisme terus kekal berhubung dengan masyarakat secara bermaruah, selamat dan berkeyakinan.

Dr. Sim turut menegaskan bahawa pembangunan sosial di Sarawak tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, organisasi berasaskan kepercayaan serta masyarakat sivil.
Beliau memuji perjalanan KAA yang bermula secara sederhana sebelum berkembang menjadi sebuah organisasi yang kini menyokong lebih 170 pelajar autisme, sekali gus mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan komuniti terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menerusi pasukan kemanusiaannya telah menyumbangkan van berkenaan kepada KAA, sambil menyifatkannya sebagai contoh kerjasama berkesan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti.
Majlis berkenaan diakhiri dengan pelancaran rasmi dan penyerahan simbolik van kepada pihak pengurusan KAA untuk kegunaan operasi, pendidikan dan kebajikan pelajar autisme.
Oleh Shikin Mahmud