SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menegaskan kepentingan perpaduan dan pembangunan infrastruktur yang mampan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Huang Tiong Kang pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Persatuan Klan Lin Bahagian ke-3, ke-6, dan ke-7 Sarawak Cawangan Sarikei baru-baru ini, berkata perayaan ini bukan sahaja sebagai satu simbol penyatuan keluarga tetapi juga sebagai satu kesempatan untuk mengukuhkan ikatan silaturahim di kalangan masyarakat.
“TBC merupakan perayaan yang menekankan nilai kekeluargaan dan perpaduan.
“Klan (keturunan) keluarga Lin mempunyai sejarah yang panjang dan warisan yang berharga dan perlu terus dipelihara oleh generasi akan datang.
“Hanya dengan semangat bersatu dan usaha bersama, kita dapat memastikan kesinambungan tradisi serta kemajuan masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan di Sarikei, Tiong Sii mengucapkan penghargaan kepada rakyat yang telah memberikan sokongan kepadanya sebagai wakil rakyat hampir sembilan tahun.
“Sarikei adalah kampung halaman saya dan saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat di sini.
“Sejak sekian lama, kita telah berusaha bersama untuk membangunkan kawasan ini, termasuk memperbaiki kemudahan asas seperti sekolah, rumah panjang, tempat ibadat, jalan raya dan pelbagai infrastruktur lain,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan cemerlang dalam menerajui kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Di bawah pentadbiran Premier Sarawak, kerajaan negeri terus berusaha dalam memperuntukkan dana pembangunan bagi meningkatkan infrastruktur di Sarikei dan Meradong.
“Dengan kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh, kita dapat memastikan pertumbuhan berterusan demi manfaat rakyat,” katanya lagi.
Majlis jamuan tersebut dihadiri oleh masyarakat setempat serta ahli-ahli persatuan tersebut yang bersama-sama meraikan kemeriahan TBC dengan semangat perpaduan dan harapan untuk masa depan yang lebih baik.
Oleh Earl Anek