Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Perkukuh peranan peneraju tenaga hijau Asia Tenggara
  • TEMPATAN

Perkukuh peranan peneraju tenaga hijau Asia Tenggara

Utusan Sarawak 3 weeks ago
TERMETERAI… Timothy Ong (kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman dengan He Lei, disaksikan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah), Wang Honggang (berdiri kanan); Datuk Ibrahim Baki, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Datuk Dr Ripin Lamat serta James Ung.

KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah sebagai peneraju tenaga hijau di Asia Tenggara apabila InvestSarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Energy Engineering Investment Corporation Limited (CEEIC) untuk membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar bernilai AS$1.35 bilion (sekitar RM6 bilion).

Kerjasama strategik itu menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga bersih sebanyak dua gigawatt (2GW), merangkumi loji solar, sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri serta infrastruktur grid elektrik.

Langkah ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab ekonomi rendah karbon menjelang 2030 melalui Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di salah sebuah hotel di sini dan disaksikan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu lonjakan besar ke arah menjadikan Sarawak hab tenaga hijau serantau.

“Kita komited untuk memperkukuh peranan Sarawak sebagai pusat tenaga hijau serantau dan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon di bawah PCDS 2030.

“Pelaburan seperti ini amat penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan mampan serta keselamatan tenaga untuk generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat; serta Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, James Ung.

CEEIC, anak syarikat kepada China Energy Engineering Corporation Limited (CEEC), membawa kepakaran bertaraf global dalam pembangunan infrastruktur tenaga bersih dan sistem tenaga bersepadu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Ekonomi CEEIC, He Lei berkata Sarawak menawarkan potensi besar dalam pembangunan sistem tenaga solar dan hibrid.

“Pelaburan ini akan dilaksanakan secara berfasa selaras dengan perancangan pembangunan tenaga Sarawak dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di China,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern berkata kerjasama itu membuka lembaran baharu dalam usaha menempatkan Sarawak di barisan hadapan koridor pertumbuhan hijau ASEAN.

“Pelaburan ini bukan sekadar pemangkin pertumbuhan ekonomi hijau, malah berpotensi menjana peluang pekerjaan, mempercepatkan pemindahan teknologi dan memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang di rantau ini,” ujarnya.

CEEIC sebelum ini telah membangunkan lebih 12GW kapasiti tenaga di pelbagai negara termasuk projek tenaga terbesar China di Vietnam dan projek penyimpanan tenaga suria terbesar dunia di Xinjiang, China.
Oleh Rynna Sha’erra

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Bomba concludes probe into SMK Sungai Tapang fire
Next: RECODA rancang laksana projek SIP2 tarik pelaburan ekonomi hijau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.