
KUCHING: Sarawak perlu melakukan perubahan besar dalam sektor pertanian khususnya agar lebih moden, mampan dan mampu meningkatkan tahap sara diri makanan (SSL) negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, salah satu keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memperkukuh pengeluaran padi melalui penubuhan Paddy Board, yang dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran kepada 450,000 tan setahun.
Tambah beliau, ia boleh mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Sarawak.
“SSL kita sekarang masih rendah, hanya sekitar 13 peratus. Kita sasarkan untuk capai sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2030,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pejabat baharu dan pelancaran logo Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak di DCCI Tower, semalam.
Justeru, perubahan ini memerlukan pendekatan moden yang melibatkan penggunaan teknologi seperti pertanian pintar dan Internet of Things (IoT), agar sektor pertanian bukan hanya bergantung pada tenaga kerja fizikal.
Sebagai langkah sokongan, kerajaan negeri turut merancang untuk menubuhkan sebuah Jabatan Perikanan baharu, membangunkan taman agro (Agro Park) serta rumah hijau bagi mempercepat peralihan ke arah pertanian moden.
Beliau turut berkongsi kisah inspirasi seorang tenaga pengajar mekanik di Bintulu yang mampu meraih pendapatan sekitar RM9,000 sebulan hanya dengan mengusahakan setengah hektar tanah secara moden, contoh jelas bagaimana teknologi mampu mengubah wajah pertanian.
“Anak muda perlu lihat pertanian sebagai satu peluang kerjaya yang moden, bukannya kerja berat semata-mata.
“Dengan teknologi, walau cuma lima hektar tanah, hasilnya tetap boleh jadi lumayan,” jelasnya lagi.
Dr. Rundi turut menekankan keperluan untuk mengukuhkan rantaian bekalan dan membina industri hiliran, khususnya bagi produk bermusim dan perenial. Ini penting supaya petani tidak terus terdedah kepada ketidaktentuan harga pasaran.
“Kita perlukan sistem yang menyeluruh, dari ladang ke proses dan pasaran.
“Tanpa itu, hasil pertanian sukar bersaing,” ujarnya sambil menjadikan kejayaan industri kelapa sawit sebagai rujukan model.
Malahan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini dalam proses memuktamadkan penubuhan sebuah agensi baharu berkaitan jaminan makanan, yang bakal dibawa ke Kabinet negeri untuk kelulusan.
Dalam merangka agensi ini, pendekatan yang digunakan oleh Sabah juga sedang diteliti sebagai panduan. Inisiatif ini, katanya, adalah sebahagian daripada usaha untuk membina sistem pertanian Sarawak yang tersendiri dan tidak terlalu bergantung pada model persekutuan.- UKAS