
BINTULU: Nilai kemanusiaan dalam dunia perniagaan perlu terus diperkukuh demi menyantuni golongan memerlukan, bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Rizzara Kek Lapis Sarawak yang meraikan 63 anak yatim dari Kompleks Kebajikan Haji Daud Abdul Rahman di Villa Renjis di Pilis Event & Wedding Hall di Kampung Assyakirin Fasa 2 di sini, malam tadi.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mempereratkan silaturahim selepas Syawal, malah mengangkat martabat kemanusiaan dengan menyantuni anak-anak yatim dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada Rizzara atas kejayaan mengekalkan legasi selama satu dekad, menyifatkannya sebagai bukti ketekunan dan sokongan padu masyarakat.
“Ini bukan pencapaian yang mudah dan lebih bermakna apabila disertai dengan inisiatif yang menyentuh hati rakyat.
“Semoga Rizzara terus berkembang bukan sahaja sebagai jenama kek lapis, tetapi juga sebagai jenama yang dekat di hati masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar produk keluaran tempatan seperti kek lapis Rizzara dijadikan pilihan utama oleh agensi kerajaan dalam usaha mempromosikan produk Sarawak di peringkat lebih luas.
“Saya menggalakkan agensi kerajaan menjadikan produk Kek Lapis Rizzara sebagai cenderahati, sama ada dalam penganjuran sesuatu program atau ketika menerima kunjungan tetamu,” katanya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut menampilkan pelancaran Kek Lapis Syawal, persembahan oleh The Bossas Band, jamuan raya, penyampaian duit raya dan cenderahati kepada anak yatim, serta sesi cabutan bertuah.
Sementara itu, Pengasas Rizzara, Awang Mohamad Firdhaus Awang Abu menyifatkan majlis tersebut sebagai ruang menzahirkan kasih sayang melalui rezeki yang dikongsi bersama.
“Kami percaya bahawa setiap senyuman anak yatim yang diraikan malam ini adalah satu keberkatan buat kami.
“Majlis ini bukan sekadar sambutan, tetapi satu bentuk kasih sayang yang ingin kami zahirkan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih