
KUCHING: Sarawak kekal bertekad untuk mencapai kemajuan berterusan dengan memperkukuh nilai integriti serta memanfaatkan teknologi moden yang selari dengan keperluan masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa integriti bukan sekadar elemen penting dalam menghadapi cabaran digitalisasi, tetapi juga menjadi asas utama kejayaan setiap inisiatif pembangunan di negeri ini.
Beliau menekankan bahawa tanpa integriti, sebarang usaha pembangunan tidak akan membuahkan hasil meskipun sesebuah negeri atau negara memiliki sumber alam yang melimpah.

“Kita boleh lihat beberapa negara yang kaya dengan sumber seperti minyak dan gas, tetapi masih gagal mencapai kemajuan kerana pengurusan yang tidak berintegriti.
“Alhamdulillah, Sarawak mempunyai dasar yang jelas untuk merealisasikan sasaran pembangunan menjelang 2030. Malah, kita kini sedang merancang hala tuju selepas 2050 demi kemajuan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa sempena Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada SEDC atas usaha berterusan dalam membudayakan integriti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri sejak penubuhannya pada 1972.
“SEDC telah membina asas integriti yang kukuh dalam organisasinya. Ini merupakan contoh terbaik yang wajar dicontohi oleh agensi lain,” tambahnya.
Pada majlis yang sama, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan SEDC berjumlah RM150,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sejurus selesai menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah sebelum hadirin menikmati jamuan moreh.