
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terus memperkukuh komitmennya terhadap integriti dengan mengembangkan pelaksanaan sistem anti-rasuah serta menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) yang beretika dalam era digital.
Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain menegaskan bahawa integriti adalah teras utama dalam pentadbiran korporat dan pembangunan ekonomi negeri.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif anti-rasuah, SEDC merancang untuk melaksanakan Corporate Integrity System Malaysia (CISM) di semua 21 anak syarikatnya bermula tahun ini. Langkah ini bertujuan memastikan prosedur dan proses yang ketat dalam mengurangkan risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa dalam operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut.
“Jabatan Integriti dan Pengurusan Risiko SEDC telah melaksanakan langkah persediaan bagi memastikan semua anak syarikat bersedia mendapatkan pensijilan CISM,” katanya.

Beliau turut menggesa semua warga SEDC agar menghayati nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka serta menjadikan prinsip AI beretika sebagai panduan dalam membangunkan ekonomi digital Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa sempena Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
SEDC turut mengukuhkan budaya integriti dengan mengadakan siri Mini Hari Integriti sepanjang tahun lalu di lima lokasi; Miri, Mukah, Betong, Bintulu dan Sibu.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tatakelola yang baik dalam kalangan usahawan serta kakitangan SEDC.
Selain itu, SEDC turut menjalankan Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (MPGIA) yang melibatkan pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penceramah.
Kursus ini disertai oleh pekerja dari semua peringkat bagi memperkukuh kefahaman mereka mengenai integriti di tempat kerja.