Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Perkukuh komitmen pendidikan masa depan menerusi Inisiatif 2025
  • PENDIDIKAN

Perkukuh komitmen pendidikan masa depan menerusi Inisiatif 2025

Utusan Sarawak 6 hours ago
UCAPAN… Dato Fazzrudin Abdul Rahman berucap pada majlis perasmian Taklimat Inisiatif Pendidikan Kerajaan Sarawak di Kolej Universiti i-CATS.

KUCHING: Komitmen kerajaan Sarawak dalam membangunkan pendidikan yang inklusif dan berorientasikan masa depan terus diperkukuh melalui pelancaran Program Inisiatif Pendidikan Kerajaan Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Kolej Universiti i-CATS, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, dengan penyertaan agensi utama termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Yayasan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan SCOPE Sarawak (GETS).

RAKAM KENANGAN… Rakaman gambar kenangan bersama pelajar yang hadir.

Salah satu inisiatif yang menjadi tumpuan ialah pelaksanaan Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS), yang digariskan khusus untuk meringankan beban kewangan pelajar IPTA dan IPTS yang perlu menyewa kediaman di luar kawasan tempat tinggal asal demi meneruskan pengajian mereka. 

“Inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pendidikan terus menjadi keutamaan, tanpa membebankan pelajar dan keluarga mereka secara kewangan,” ujar beliau ketika ditemui media selepas majlis perasmian.

Beliau berkata, usaha ini turut merupakan kesinambungan pendekatan kerajaan negeri untuk turun padang dan mendekati masyarakat, khususnya para pelajar di institusi pengajian tinggi.

SIDANG MEDIA… Dato Fazzrudin Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Perasmian Taklimat Inisiatif Pendidikan Kerajaan Sarawak di Kolej Universiti i-CATS.

“Kita mahu pelajar bukan sahaja memanfaatkan bantuan yang disediakan, tetapi juga menjadi penyampai maklumat kepada keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Ramai yang masih tidak tahu cara memohon, jadi kita turun sendiri ke lapangan bagi memastikan maklumat ini sampai ke akar umbi,” tegasnya lagi.

Menerusi SRAS, pelajar yang layak akan menerima bantuan sewa sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh maksimum 36 bulan.

Bantuan ini terbuka kepada penyewa di bandar utama seperti Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri.

Antara syarat kelayakan utama ialah pelajar mestilah anak Sarawak yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam atau luar negeri. 

Selain itu, hanya seorang pelajar daripada setiap keluarga layak menerima bantuan bagi memastikan agihan lebih menyeluruh dan saksama.

Pendapatan isi rumah bulanan juga ditetapkan tidak melebihi RM4,556, bagi memastikan bantuan ini disasarkan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Pelajar yang ingin memohon perlu menyediakan dokumen penting seperti salinan kad pengenalan, surat tawaran institusi, penyata pendapatan, salinan perjanjian sewa serta gambar premis kediaman.

Program SRAS ini turut disifatkan sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi tidak terbatas oleh kekangan ekonomi, terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan sederhana.

Sementara itu, kerajaan negeri turut merancang untuk memperluas penyampaian maklumat menerusi siri jelajah pendidikan ke institusi seperti Politeknik, Swinburne, Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan beberapa IPT lain di bawah kendalian kerajaan.

Oleh Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Tiada pekeliling kategorikan gred A – tidak cemerlang – Fadhlina
Next: 155 mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak adakan persidangan di DUN Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.