
BAU: Umat Islam di Daerah Bau melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim dalam kalangan komuniti di taman perumahan dan kampung masing-masing, semalam.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, berkata beliau berkesempatan menyaksikan majlis ibadah korban yang berlangsung di tiga lokasi berasingan, iaitu Surau Darul Muttaqir Taman Mutiara, Kampung Buso dan Kampung Pangkalan Bau.

Menurutnya, pelaksanaan ibadah korban ini mampu menyatukan penduduk melalui semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang proses penyembelihan, melapah, memotong serta pengagihan daging korban kepada golongan penerima.
“Kami berpeluang melawat tiga lokasi berasingan di daerah ini bagi menyaksikan umat Islam melaksanakan ibadah korban dalam suasana penuh perpaduan bersama keluarga, jiran dan sahabat handai, sebagaimana di tempat-tempat lain.

“Aktiviti gotong-royong seperti ini jelas mempamerkan semangat kebersamaan dan saling membantu dalam menjayakan ibadah korban,” katanya ketika berucap pada majlis di Dewan Kampung Pangkalan Bau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan individu berkemampuan yang menyemarakkan lagi pelaksanaan ibadah korban di daerah tersebut.

Sementara itu, Ketua Kampung Pangkalan Bau, Zainal Mat, 71, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penduduk kampung yang bersama-sama berganding bahu menjayakan gotong-royong sempena Aidiladha tahun ini. – JAPEN