
LAWAS: Penerima anugerah sastera negara Brunei 2024 Pengiran Shamsu Pengiran Kadar telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini.
Pengiran Shamsu turut menyampaikan cenderamata berupa koleksi gurindam Brunei dan buku bergambar sejarah Brunei, dan kawasan jajahan Brunei di Teluk Brunei.
“Kita sekadar berkongsi hasil koleksi gurindam lama Brunei yang juga menyelitkan sejarah di kawasan Teluk Brunei iaitu Limbang dan Lawas.
“Syukur alhamdulillah kerana Datuk Amar Awang Tengah amat berminat dengan perkongsian kita dan beliau menitip pesan agar bahasa klasik Brunei serta budaya Melayu Brunei terus dapat dipelihara dan dikembangkan,” katanya.
Pengiran Shamsu berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sebuah hotel terkemuka di Lawas, petang tadi.
Mengulas lanjut, Pengiran Shamsu memberitahu budaya Melayu Brunei amat rapat dengan budaya Melayu Brunei di Utara Sarawak.
“Memanglah Melayu Brunei itu hanya ada di Limbang dan Lawas kerana kedudukannya dan sejarahnya saling berkait terutama dari aspek hubungan sosial dan kekeluargaan,” tambahnya.
Pengiran Shamsu turut berterima kasih atas layanan baik Awang Tengah dan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang amat dekat dengan rakyat.
“Hari ini kita nampak dengan kepala sendiri bagaimana Datuk Amar Awang Tengah ini melayan orang ramai tanpa mengira keturunan, latar belakang dan kedudukan…sikap merendah diri inilah yang menjadikan pemimpin ini amat dikasihi di Lawas, Limbang dan rakyat Brunei sendiri amat menghormati beliau,” jelasnya.
Menyentuh mengenai aktiviti sastera, Pengiran Shamsu berharap agar wujud persatuan pengiat seni di daerah Limbang atau Lawas yang dapat bekerjasama memelihara seni sastera, dan budaya Melayu Brunei.
Oleh Adeng Edrus