LIMBANG: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Limbang memerlukan sebuah bangunan sendiri sebagai pusat aktiviti dan pengurusannya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pada masa ini Perkim cawangan Limbang terpaksa menumpang di dalam kawasan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang yang dijadikan pejabat serta pelaksanaan program keagamaan.
Setakat ini kerajaan sedang berusaha untuk membantu mana-mana persatuan termasuk Perkim Limbang bagi mendapatkan bangunan sendiri untuk mereka menjalankan program masing-masing dengan lebih selesa.
“Sasaran kita mudah-mudahan menjelang 2025, kita ada satu bangunan sendiri dan sama-sama kita berusaha. Sekarang ini ada juga pejabat Perkim di Masjid Baitul Iman di Limbang.
“Tapi saya boleh memberi satu tawaran iaitu satu lot kedai di tingkat atas yang kini tidak berpenghuni iaitu bekas lot klinik Dr Abdul Rahman tingkat atas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-33 Perkim cawangan Limbang Di Dewan Bunga Raya kelmarin.
Pada masa sama katanya, Perkim Limbang perlu berusaha dan duduk semeja bersama ahli-ahli jawatankuasa untuk membincangkan hala tuju persatuan termasuk bagi mendapatkan rumah dan bangunan mereka sendiri.
“Tapi untuk mencari bangunan ini, yang paling penting ialah tanah. Kalau ada tanah, duit untuk membuat bangunan kita boleh cari antaranya boleh menggunakan Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau turut memuji Perkim Limbang bukan saja berperanan memperluaskan dakwah Islamiah malah proaktif dalam penganjuran pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.
Turut Hadir Penyelaras Perkim Dayang Noraini Abang Zawawi, Pengerusi PERKIM cawangan Limbang, Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Hala Tuju merangkap Ahli Jawatankuasa PERKIM Sarawak, Dr Saadiah Abdul Samad.
Oleh ADENG EDRUS