
BEKENU: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendidikan Islam, kebajikan masyarakat serta pembangunan generasi muda di Sarawak.
PERKIM bukan sahaja menekankan pendidikan asas Islam merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak, malah aktif membantu kebajikan masyarakat serta melaksanakan aktiviti dakwah di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus menggesa lebih ramai golongan belia menyertai PERKIM bagi memastikan kesinambungan perjuangan pertubuhan itu pada masa hadapan, sejajar keperluan melahirkan barisan pelapis kepimpinan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-10 PERKIM Cawangan Sibuti di Bangunan Persatuan Kebajikan Warga Emas (PAWE) Sibuti di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menggesa ahli PERKIM agar membantu kerajaan menyebarkan maklumat berkaitan bantuan kebajikan kepada rakyat, khususnya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat serta inisiatif kerajaan Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan program pembangunan belia dan kekeluargaan bagi menangani cabaran semasa termasuk isu remaja, institusi keluarga, keganasan rumah tangga serta pengaruh teknologi dan media sosial.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pemilihan jawatankuasa baharu serta perancangan aktiviti tahunan bagi memperkukuh peranan PERKIM Cawangan Sibuti dalam pembangunan masyarakat Islam setempat.
Turut hadir, Pengerusi PERKIM Cawangan Sibuti Penghulu Masta Dris, Bendahari Kehormat (PERKIM Sarawak) Dayang Noraini Abang Zawawi.
Oleh Adum Liu