
KUCHING: Perkhidmatan kutipan sampah di beberapa kawasan di bandar raya ini akan dilaksanakan sehari lebih awal sempena sambutan Aidilfitri bagi memastikan persekitaran kekal bersih sepanjang musim perayaan.
Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, kutipan sisa di kawasan yang dijadualkan pada 20 Mac akan diawalkan sehari pada 19 Mac.
Tambah kenyataan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk mengeluarkan tong sampah masing-masing lebih awal pada malam sebelum hari kutipan bagi memudahkan proses pengumpulan sampah oleh pasukan kutipan.
“Sekiranya Aidilfitri jatuh pada 21 Mac, kawasan yang mempunyai jadual kutipan pada Sabtu juga akan menerima perkhidmatan sehari lebih awal iaitu pada 20 Mac,” katanya.
Tambah kenyataan itu, tiada perkhidmatan kutipan sampah akan dijalankan di kawasan terlibat pada hari pertama Aidilfitri dan perkhidmatan akan kembali beroperasi seperti biasa selepas itu.
Kawasan yang terlibat merangkumi beberapa kawasan di bawah seliaan Suruhanjaya Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Antara kawasan di bawah DBKU termasuk Taman Fitrah, Kampung Gita Lama, Taman Sri Sarapi, Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Demak Baru 2 serta beberapa kawasan di Semariang dan Matang.
Sementara itu, kawasan di bawah MBKS yang terlibat ialah Kampung Tabuan Tengah, Kampung Tabuan Hilir dan Kampung Tabuan Selipar Putus, manakala kawasan di bawah MPP termasuk Taman Malihah, Taman Saujana Indah, Taman Banjaran Serapi dan beberapa kawasan di Matang.
Penduduk juga diingatkan agar menjaga kebersihan kawasan kejiranan dan tidak membuang sampah merata-rata, selain memastikan sampah tambahan dibungkus dengan kemas dan diletakkan berhampiran tong sampah untuk memudahkan pelupusan oleh pasukan kutipan.
Senarai penuh kawasan yang terlibat boleh dirujuk di laman sesawang rasmi Trienekens Sarawak, manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian hotline 082-612300 pada waktu pejabat.
Oleh Shahrul Qaizat