ANTARA perkara utama yang dicakap-cakapkan di Sarawak ketika ini ialah tentang usaha untuk memperjuangkan autonomi Sarawak dalam Malaysia berkaitan perihal perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, isu pendidikan merupakan satu lagi perkara yang sedang dipertimbangkan oleh pihak berwajib.
Majoriti rakyat Sarawak melihat kedua-dua perkara mengenai pendidikan dan kesihatan (perubatan) memiliki sejarah yang cukup unik dan istimewa dalam perkembangannya.
Perkembangan perkhidmatan kesihatan di Sarawak telah dimulakan dari era Pemerintahan Brooke, berkembang pada zaman kolonial British lagi, dan dimantapkan pada era kemerdekaan melalui Malaysia sehingga ke hari ini.
Namun, dengan keluasan Bumi Kenyalang jika dibandingkan dengan setiap negeri lain di Semenanjung Malaysia dan juga wilayah Sabah, dirasakan pengendalian secara autonomous bagi pendidikan dan kesihatan Sarawak wajar difikir secara mendalam dan serius.
Sejarah warisan kesihatan
Senario tentang perkhidmatan kesihatan lebih mudah dapat kita fahami hari ini kerana wujud sebuah buku yang diterbitkan oleh Jabatan Kesihatan Sarawak pada 2012 berjudul Heritage in Health: The Story of Medical and Health Care Services in Sarawak.
Buku setebal 470 halaman itu dihasilkan atas inisiatif Dr Yao Sik King, Pengarah Kesihatan Sarawak pada 2004, yang merasakan wajar diwujudkan dokumentasi khas mengenai perkhidmatan kesihatan, agar kecemerlangan kegigihan usaha yang telah dicurahkan tidak hilang begitu sahaja ditelan zaman.
Inisiatif itu ternyata mendapat sambutan positif dalam kalangan semua kakitangan, termasuk para pengarah kesihatan Sarawak yang mengambil alih selepas Dr Yao Sik King.
Rata-rata mereka yang diajak untuk terlibat dalam penghasilan buku itu pada peringkat awal sependapat bahawa pengumpulan data perlulah disegerakan sebelum mereka dimamah usia dan daya ingatan kian meluntur.
Impian awal itu akhirnya menjadi kenyataan pada ketika Dr Zulkifli Jantan menjadi pengarah kesihatan Sarawak pada 2012.
Bengkel perkongsian pengalaman
Untuk menjayakan penerbitan buku yang diidamkan itu, satu bengkel perkongsian pengalaman dalam kalangan anggota-anggota perubatan yang sudah bersara dengan mereka yang masih berkhidmatan diadakan pada 2005.
Mereka ini melalui pelbagai cabaran ketika sedang dalam usaha untuk menghimpun bahan kandungan yang sahih dan komprehensif.
Antara cabarannya termasuklah gejala mewabaknya penyakit-penyakit, di samping berlakunya persaraan dalam kalangan mereka yang dalam unit-unit yang penting dan utama untuk mengongsikan data-data penting. Tergendalalah projek berkenaan buat beberapa tahun.
Namun, pada 2010 projek berkenaan dapat disambungkan ekoran munculnya beberapa orang yang beriltizam untuk merealisasikan dedikasi yang terbengkalai itu. Mereka gigih untuk tidak mensia-siakan impian semurni projek penghasilan buku itu. Kejayaan manis pun dapat direalitikan pada 2012.
Ketekunan usaha mengumpul maklumat-maklumat relevan diusahakan oleh para pemimpin dalam tiga komponen program yang utama melalui tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Hospital (Perubatan), dan Jabatan Dental (Kesihatan Oral) yang tidak jemu-jemu bermesyuarat, tanpa mengira penat lelah dan tidak mengira waktu dan hari.
Malahan, bantuan dari aspek kewangan juga ditawarkan oleh pihak Persatuan Pengamal Perubatan Swasta.
Penyerlahan warna-warni
Buku ini adalah penyerlahan warna-warni perkembangan sistem penyampaian dalam perkhidmatan kesihatan di Sarawak. Apa yang istimewanya mengenai sejarah awalnya ialah amalan yang diguna pakai di Sarawak pada era kolonial itu diiktiraf dalam Deklarasi Alma-Ata dan diterima pada Persidangan Antarabangsa Peduli Kesihatan Alma-Ata di Rusia pada September 1978.
Alma-Ata kemudiannya dikenali sebagai Almaty di Kazakhstan sehingga kini.
Dalam prakata buku tersebut disebut beberapa nama pengarah kesihatan Sarawak yang turut menyumbangkan kepada perkembangan perkhidmatan kesihatan di Bumi Kenyalang seperti Datuk Dr Chong Chun Hian, Datuk Dr Tan Yaw Kwang, Datuk Dr Stalin Hardin, Tan Sri Dr Mohd Taha Arif, Dr Yao Sik Chi, Dr Yao Sik King, dan Datu Dr Andrew Kiyu.
Era Brooke
Doktor pertama di Sarawak dilantik tidak lama selepas James Brooke menjadi Raja pada 1840, namun rekod awal tentang Jabatan Perubatan Sarawak hanya dikesan pada 1910. Menjelang 1935 Sarawak memiliki enam orang doctor perubatan yang memfokuskan pelayanan perubatan untuk segelintir pegawai kanan kerajaan dan pegawai kerajaan tempatan yang inginkan perkhidmatan perubatan cara barat.
Antara doktor terawal yang disebut bernama Dr Le Gros Clarke, yang berkhidmat di Sibu untuk beberapa tahun. Namun doktor ini didapati lebih cenderung meminati anatomi Orang Utan sehingga kemudiannya beliau menjadi seorang professor yang tersohor mengenai anatomi di Universiy of Oxford, England.
Perkhidmatan pergigian juga hanya bermula sebelum Perang Dunia Kedua dengan hanya seorang penolong pegawai pergigian yang wujud sehinggalah tempoh Penaklukan Jepun pada awal 1940-an.
Pada ketika Raja Charles Vyner Brooke memerintah, beliau menyelesaikan masalah sukarnya mendapatkan kakitangan untuk perkhidmatan perubatan dengan mengambil doktor perubatan dari Penempatan Selat dari Malaya.
Dari Januari 1942 hingga Ogos 1945, di bawah Taklukan Jepun perkhidmatan perubatan diteruskan di bawah Kerajaan Penaklukan Ketenteraan Jepun sehinggalah Jepun tewas dan Sarawak diambil alih oleh kerajaan British.
Entiti berasingan
Pada era koloni British (1946-1963), didapati perkhidmatan perubatan di Sarawak kurang memuaskan apabila terlalu bergantung dengan perkhidmatan para pegawai dari Malayan Union dari Malaya.
Ini mendorongkan kerajaan koloni meluluskan perkhidmatan perubatan berasingan untuk Sarawak dengan melantik pengarah perubatan dan kesihatan serta pegawai perubatan Sarawak sendiri, termasuk matron dan Sister Kejururawatan.
Jabatan Perubatan Sarawak ditubuhkan sebagai entiti yang berasingan mulai 21 Julai 1947 dengan pengarah perubatan pertama yang dilantik bernama Dr James Liston, dari Kenya. Menjelang 31 Disember 1947, Jabatan Perubatan Sarawak sudah ada pengarahnya sendiri, tiga pegawai perubatan (termasuk seorang wanita), dua penolong pegawai perubatan dan seorang matron.
Projek pengawalan tibi dimulakan di Sarawak pada 1960.
Pada 1947, 21 buah dispensari luar bandar diwujudkan di bawah kendalian seorang dresser dan seorang atendan.
1963
Jabatan Perubatan Sarawak berada di bawah Jabatan Persekutuan mulai era Malaysia (1963) dan mulai tahun itu pengarah perubatan Sarawak bertanggungjawab kepada Menteri Kesihatan Persekutuan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, para pegawai lain kekal tertakluk kepada Perintah Am Sarawak. Keadaan ini adalah berlandaskan Laporan Jawatankuasa Rentas Kerajaan 1962.
Pada 1967 apabila dasar pe-Malaysiaan Jabatan Perubatan berlaku, Dr Chong Chun Hian dilantik sebagai anak Sarawak pertama menjadi pengarah perkhidmatan perubatan dan kesihatan apabila beliau dengan rasminya mengambil alih tugas pada 23 Ogos 1967.
Ibu pejabat Perubatan
Dalam bab pertama buku itu dicatatkan bahawa ibu pejabat pertama beroperasi pada 1 Mac 1909 di bangunan Pavilion. Bangunan ini, yang terletak bertentangan dengan Pos Besar, digunakan sehingga 1 Mac 1947 apabila ia dipindahkan ke tingkat atas Pos Besar.
Kedua-dua bangunan ini masih tersergam sehingga hari ini.
Bangunan Hospital Umum Kuching siap pada 1972 (yang sekarang masih wujud dan kini dijadikan ibu pejabat Perubatan). Bangunan baharu itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu, Tan Sri Lee Siok Yew, pada 8 Julai 1972. Kerja-kerja pemindahan dari Pejabat Pos BEsar siap sepenuhnya pada 5 Ogos 1972.
Asalnya, kawasan tempat bangunan baharu itu dimiliki oleh seorang yang bernama Encik Kali dan dinamakan “Green House”, tempat pemeliharaan sapinya.
Bangunan yang pada mulanya dijadikan Hospital Umum Kuching dan kemudian Ibu Pejabat Perubatan Sarawak itu direnovasikan beberapa kali sepanjang tempoh 80 tahun, dan menempatkan Inspektorat Kesihatan, Seksyen Kejuruteraan Kesihatan Awam dan Seksyen Kawalan Mutu Makanan.
Penutup
Buku Heritage in Health ini wajar dibaca semua orang, lebih-lebih lagi jika kita ingin memahami tentang perjuangan, dedikasi serta bagaimana bertungkus lumusnya para pegawai perubatan dari dahulu hingga sekarang dalam kepedulian tentang kesihatan kita di Sarawak.
Membacanya pasti memberi kepuasan yang bukan kepalang dan meluaskan perspektif minda kita terhadap isu yang penting ini.