
PERUBATAN moden mula diperkenalkan di Sarawak apabila datangnya pengaruh Barat terutamanya kedatangan James Brooke.
Masyarakat Sarawak mula diperkenalkan dengan pelbagai bentuk perubatan moden dengan ada kemudahan hospital dan dispensari serta pengenalan vaksinasi.
Ubat-ubat moden dari Barat juga digunakan untuk mencegah pelbagai penyakit seperti cacar air, malaria, puru dan denggi.
Sepanjang pemerintahan Brooke sehingga masuk ke zaman pemerintahan koloni, perkara ini berterusan diberi perhatian tetapi sejauh mana semua penduduk Sarawak menikmatinya timbul persoalan.
Ini kerana saiz Sarawak yang luas dan kemudahan pengangkutan terhad kepada jalan sungai amat menyukarkan perkhidmatan ini digerakkan.
Pada era Brooke terdapat pelbagai usaha untuk memberi khidmat kesihatan ini. Pegawai Pribumi dan dreser sering dihantar ke tempat-tempat pedalaman dan terpencil untuk memberi khidmat kesihatan kepada penduduk tempatan.

Tidak kurang juga peranan dimainkan oleh golongan mubaligh yang memberi khidmat kesihatan kepada penduduk tempatan.
Mendekati
Perkembangan ini berterusan sehingga Sarawak menjadi koloni British. Dalam era pemerintahan British, beberapa usaha dan inovasi telah diperkenalkan bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman.
Namun begitu, kekangan utama dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut ialah ketiadaan sebuah pusat rawatan atau hospital yang lengkap untuk memenuhi keperluan penduduk luar bandar.
Hospital-hospital ini hanyalah terletak di kawasan bandar dan pekan. Hanya dispensari diwujudkan untuk memberi khidmat kesihatan kepada penduduk luar bandar.
Golongan mubaligh juga memain peranan mendirikan hospital mereka untuk diberi khidmat kepada penduduk di Kapit, Long San, Kanowit, Mukah, Sarikei dan Serian.
Pada 1949 terdapat cuma 25 dispensari yang hanya menyediakan beberapa katil untuk pesakit. Sebanyak 12 dispensari bergerak pula diwujudkan pada 1961.
Di Limbang, iaitu Bahagian Kelima, pembantu perubatan yang berkhidmat di dispensari tetap Lawas dan Sundar turut ditugaskan melawat pedalaman secara berkala.
Inovasi
Dalam usaha mengatasi masalah kekurangan kakitangan perubatan, maka kerajaan British mewujudkan jawatan ulu dreser. Jawatan ini diwujudkan pada 1950-an.
Usaha mewujudkan ulu dreser ini untuk memberi khidmat lebih menyeluruh kepada penduduk di pedalaman Sarawak.
Pemuda yang berasal dari kampung terpencil akan dipilih dan mereka akan ditugaskan memberi khidmat kesihatan kepada penduduk di kampung asal mereka.

Anak-anak muda ini diberikan latihan dalam diagnosis serta rawatan perubatan dan pembedahan asas. Sekembalinya mereka, mereka dibayar gaji kecil dan memberikan rawatan ringkas kepada penduduk di kampung mereka sendiri serta kampung-kampung berhampiran.
Pada 1959 jumlah ulu dreser yang dilantik adalah 51 orang. Mereka ini berkhidmat di semua bahagian Sarawak.
Bahagian Keempat paling ramai bilangan ulu dreser iaitu 27 orang, manakala 11 orang berkhidmat di Bahagian Pertama. Lapan orang pula berkhidmat di Bahagian Kedua. Selebihnya adalah dua orang untuk Bahagian Ketiga dan tiga orang untuk Bahagian Kelima.
Jumlah ulu dreser tidak berubah pada 1961 iaitu tetap dengan jumlah 51 orang. Bahagian Keempat masih memerlukan khidmat ulu dreser yang ramai.
Jumlah ulu dreser yang berhidmat di bahagian ini adalah 26 orang yang agak kurang seorang pada 1959. Jumlah ulu dreser yang berkhdimat Bahagian Pertama berkurangan kepada tujuh orang.
Bilangan untuk ulu dreser di Bahagian Kedua bertambah kepada lapan orang. Bahagian Ketiga walaupun satu bahagian terbesar tetapi pemuda yang dilatih sebagai ulu dreser masih kurang iaitu lima orang.
Empat orang ulu dreser berkhidmat di bahagian Kelima
Pada 1 Januari 1963 semua ulu dreser di negeri ini telah diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan.
Namun demikian skim ini ternyata tidak bergitu berkesan dan berjaya untuk membantu kerajaan dalam memberi khidmat kepada penduduk tempatan di luar bandar.
Atas sebab itu telah diputuskan bahawa skim ini secara beransur-ansur akan dihentikan.
Selain daripada memberhentikan pengambilan baharu untuk ulu dreser, bagi yang meletak jawatan tidak ada penganti dilakukan.
Atas sebab itulah jumlah ulu dreser pada 1963 berkurangan kepada 48 orang sahaja. Pembahagian ulu dreser daripada jumlah 48 orang masih menunjukkan bahawa Bahagian Keempat mempunyai jumlah yang paling banyak iaitu 25 orang.
Bahagian lain pula adalah enam untuk Bahagian Pertama, sembilan untuk Bahagian Kedua, lim auntuk Bahagian Ketiga dan tiga untuk Bahagian Kelima.
Skim Baharu
Oleh kerana kelemahan dan ketidakupayaan ulu dreser dalam membantu melebarluaskan perkhidmatan kesihatan di Sarawak, maka diwujudkan satu lagi skim iaitu Home Help.
Skim baharu ini adalah skim berbentuk sukarela dan tidak berbayar. Peranan mereka adalah sama dengan ulu dreser. Pemilihan mereka juga sama seperti ulu dreser.
Mereka dilatih dengan cara perubatan paling mudah dan dalam tempoh yang pendek. Jabatan Kesihatan menyediakan ubat-ubatan dan peralatan kepada Home Help ini.
Kemudiannya mereka diselia oleh Traveling Superintendent dan ahli-ahli dari bahagian perubatan. Bekalan ubat-ubatan mereka ini jika kehabisan, akan dibekalkan semula oleh dispensari tetap mahupun yang bergerak.
Peringkat awal diperkenalkan skim ini menampakkan satu kejayaan yang baik. Mereka juga menurut laporan tahunan kesihatan amat bersemangat dan memberi kerjasama yang baik.
Setakat 1963 terdapat sebanyak 302 Home Help yang lebih banyak daripada ulu dreser. Daripada jumlah tersebut Bahagian Ketiga dan Keempat mempunyai Home Helps teramai iaitu 74 orang masing-masing.
Bahagian Pertama dan Kedua pula mempunyai 69 orang Home Helps masing-masing, manaka enam belas orang Home Help berkhidmat di Bahagian Kelima.
Begitulah usaha dilakukan oleh kerajaan British dalam menangani masalah memberi khidmat kesihatan di Sarawak. Pelbagai cara dan pendekatan yang dilakukan dan kadangkala tidak berkesan dan ada juga yang mencapai kejayaan besar.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).