
MARUDI: Pengerusi Majlis Daerah Marudi (MDM), Kaunselor Edward Mendai merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak di atas kepercayaan kepada beliau untuk terus mengalas tanggungajwab sebagai Pengerusi Majlis untuk tempoh setahun lagi.
Katanya jawatan ini bukan penghormatan semata-mata tetapi merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi, integriti dan komitmen berterusan.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengangkat sumpah penerimaan pelanjutan jawatan Pengerusi Majlis Daerah Marudi bagi tempoh 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027 disempurnakan di Bilik Mesyuarat MDM yang disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil hari ini.
Disamping itu, beliau mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri di atas keputusan kabinet negeri untuk menaikkan imbuhan RM1,000 kepada ahli majlis.
Katanya kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak amat peka dan prihatin terhadap suara hati daripada semua ahli majlis di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak.
“Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Marudi yang menjadi tunjang terutama dalam merealisasikan perjuangan ini,” katanya.

Dalam pada itu menurut Edward Mendai, beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis hampir satu dekat iaitu bermula Julai 2016 dan dalam tempoh berkenaan banyak pengalaman dan rintangan yang beliau lalui di Majlis Daerah Marudi.
Katanya sebagai ahli majlis ianya merupakan tanggungajwab yang amat utama di mana kita bertindak sebagai barisan hadapan iaitu menjadi mata, telinga dan suara rakyat.
“Setiap keluhan rakyat yang diterima akan disampaikan kepada wakil rakyat tempatan,” tambahnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, sepanjang tahun yang telah dilalui ini, kita telah menyaksikan banyak perubahan besar yang telah berlaku seperti projek pembangunan, kemudahan infrastruktur dan pembangunan pesat di kawasan Baram.
“Kita amat bertuah kerana dengan adanya wakil rakyat seperti Datuk Dr Penguang dan wakil rakyat yang lain sentiasa bekerja keras, proakif dan memperjuangkan isu rakyat baik di parlimen atau DUN,” katanya.
Tegas beliau dalam usaha menambahbaik dan mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan PBT yang berorientasikan hasil, sebagai ahli majlis, beliau menggesa agar rakan ahli majlis turun padang untuk mengetahui dengan lebih jelas pemasalahan yang dihadapi dan keperluan penduduk setempat.
Oleh itu tegasnya ahli majlis hendaklah peka dengan keperluan semasa dan kepentingan awam agar dapat menyumbangkan idea yang dapat memaju dan meningkatkan mutu perkhimatan majlis untuk mencapai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau turut menambah bahawa kerjasama kakitangan majlis akan menjadikan majlis bergerak sebagai satu organisasi yang berfungsi secara keseluruhan bagi mencapai matlamat yang sama.
“Amanah yang diberikan ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan sokongan padu semua pihak dan saya percaya dengan semangat kerjasama, kesapaduan dan iltizam kita mampu memperkukuhkan lagi peranan organisasi serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” harapan beliau.
Oleh Jiku Jugoung