

DARO: Perkhidmatan feri Batang Paloh yang dihentikan sementara pagi tadi, kini kembali beroperasi seperti biasa sekitar 3.25 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Daro, DSP Rahim Mihos, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa operasi feri telah disambung semula.
“Ya, feri sudah beroperasi semula seperti biasa,” katanya.
Dalam masa sama beliau turut menasihatkan semua pengguna feri supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro mengeluarkan notis penutupan sementara perkhidmatan feri berkenaan selepas muatan besi cerucuk daripada sebuah lori tergelunsur keluar dari bahagian belakang kenderaan, menyebabkan bahagian hadapan lori terangkat serta tidak dapat bergerak.
Kejadian itu mengakibatkan gangguan sementara operasi feri di Pangkalan Feri Batang Paloh sebelum kerja-kerja mengalihkan kenderaan selesai dijalankan.
Oleh Akun Giman