KUCHING: Perkhidmatan bas percuma seperti mana yang dilaksanakan ke Semenggoh akan dikembangkan sekiranya ada lokasi tarikan pelancong yang tinggi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pihaknya mengetahui permintaan yang banyak daripada masyarakat untuk membuat perkhidmatan sedemikian, namun lokasinya haruslah dipertimbangkan untuk mengelakkan kesan lain, antaranya kerugian.
“Setakat ini, bas-bas yang kita atur adalah untuk ke tempat-tempat tertentu, yang kita panggil kawasan tarikan pelancongan seperti ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC) dan beberapa tempat lagi di Kuching.
“Untuk kita letakkan bas-bas ini ke kampung-kampung kecil, satu kekhuatiran kita adalah jaraknya yang jauh dan kemungkinan yang menggunakan bas berkenaan tidak ramai, jadi ia akan menyebabkan kerugian juga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Aidilfitri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya, hari ini.
Terdahulu, Abang Johari, dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang meluangkan masa kira-kira satu jam mengunjungi kediaman Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu.
Abdul Karim, berkata lagi, salah satu faktor untuk membuat keputusan penyediaan bas percuma ini adalah berdasarkan survei untuk melihat jumlah kedatangan pelancong yang datang ke lokasi berkenaan.
Sehubungan itu, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan perkhidmatan bas percuma ini akan dikembangkan sehingga ke kawasan Bau dan Borneo Highland yang mana kini sedang membangun terutamanya dalam sektor pelancongan.
Menyentuh mengenai perkara sama untuk diperkembangkan ke kawasan luar Kuching, beliau memberitahu Miri berkemungkinan akan menjadi daerah seterusnya memandangkan terdapat dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Mulu.
“Saya bersetuju sekiranya perkhidmatan ini dilaksanakan ke kawasan tersebut setelah kerja-kerja menaik taraf fasiliti di kawasan tersebut selesai dan jumlah pelancong mulai meningkat.
“Saya tidak menolak kemungkinan kita akan menyediakan bas percuma ini dari Miri ke Niah seperti itu untuk kemudahan orang awam,” ujarnya.