SARIKEI: Perkhidmatan operasi harian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak bakal lebih berkembang dengan tertubuhnya Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di 16 daerah.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPJ (PA) Abdul Wahab Rahim berkata, setakat ini terdapat 31 PKOD telah ditubuhkan.
“InsyaAllah, penghujung tahun ini kita akan dapat menyelesaikan kita punya pengembangan perkhidmatan operasi harian.
“Ada 47 daerah di Sarawak, setakat ini kita ada 31 PKOD. Maksudnya ada lebih kurang dalam 16 PKOD yang akan kita buka.
“Kini ia dalam proses pembukaan. Sebanyak lapan ke 10 tempat dalam tempoh sebulan ke dua bulan ini akan terlaksana. Tetapi jumlah kesemua 47 PKOD ini saya letakkan sasarannya di penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita di Majlis Iftar Jama’e APM Sarikei bertempat di PKOD Sarikei, petang semalam.
Katanya, tujuannya adalah untuk menawarkan perkhidmatan kecemasan APM berada di seluruh pelusuk Sarawak.
“Kita juga akan mengembangkan pasukan pangkalan hadapan kita di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berisiko terutamanya di kawasan berisiko bencana banjir dan tanah runtuh berdasarkan daripada pencerapan data-data yang kita perolehi.
“Mereka ini juga akan bertugas apabila masuk musim monsun nanti selama lebih kurang empat ke lima bulan.
“Mereka akan ditugaskan di pangkalan hadapan berpusat di kawasan masing-masing dan bukannya di PKOD dengan kekuatan lebih kurang dalam 10 ke 15 anggota sehari,” ujarnya.
Jelasnya, pasukan pangkalan hadapan tersebut akan bertugas dan memberi respon kepada kes-kes yang berada di lapangan sebelum pasukan sokongan dari PKOD datang sebagai pasukan tambahan.
Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata terdapat dua strategi bagi pengembangan perkhidmatan APM.
“Pertamanya menambah bilangan anggota kita dengan menambahkan PKOD dan pangkalan hadapan.
“Kedua, kita menyenarai masukkan beberapa calon-calon daripada graduan untuk melaksanakan urusan tadbiran dan keurusetiaan.
“Mereka yang mempunyai ijazah, kita bawa masuk sebagai sokongan tadbiran untuk menyokong pasukan operasi lapangan,” katanya lagi.
Setakat ini katanya, APM Sarawak mempunyai lebih kurang 1,000 ke 1,200 anggota APM sedia ada dan sasaran sampai penghujung tahun ini adalah mempunyai seramai lebih kurang 5,000 anggota APM.
“Peruntukannya cukup besar tetapi kita bersyukur kerana diluluskan peruntukan untuk membuat pengembangan tersebut berdasarkan senario keluasan kawasan di Sarawak.
“Itu kelebihan yang kita ada dan sebab itu kita memerlukan strategi dan tidak menggunakan PKOD sahaja. Kita letakkan juga pasukan di pangkalan hadapan,” tambahnya.
Turut hadir, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei Lt. (PA) Shahrol Azizi Zaidi.
Oleh EARL ANEK