PENGARAH Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee menegaskan, pihaknya akan lebih fokus terutama dalam memperketatkan pergerakan atlet yang kini terlibat dengan latihan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020.
Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tahap keselamatan setiap atlet selain langkah untuk memutuskan rantaian penularan virus berbahaya (Covid-19) yang dilihat kembali menghantui masyarakat ketika ini.
“Langkah utama kita ketika ini, memberi fokus terhadap setiap pergerakan atlet terutama yang terlibat dengan latihan untuk persiapan Sukma XX Johor 2020.
“Kita tahu kes jangkitan virus berbahaya itu kembali aktif di Bandaraya Kuching ketika ini…dan oleh sebab itu kita mengingatkan kepada semua atlet, jurulatih serta pegawai dari setiap pasukan agar berwaspada,” ujar Dr Ong.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Publisiti Sukma XX Johor 2020 di Bilik Mesyuarat Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya semalam.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Sekretariat Sukma Sarawak, Ahmad Rodzli Hashim serta pegawai MSNS yang lain dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Menurut Dr Ong, beliau percaya kalangan atlet, jurulatih mahupun pegawai mengetahui akan perkara itu malah mereka juga sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mana ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Dr Ong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memberitahu, tiada masalah untuk pihaknya melaksanakan ujian swab kepada atlet.
Akan tetapi, lebih tertumpu kepada atlet berstatus elit sahaja atau yang berpotensi dapat menyumbang pingat buat kontinjen Sarawak.
Dalam keadaan sama jika keperluan kearah itu mendesak selain keputusan berbuat demikian perlu mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan Sarawak.
“Memang ada perancangan di pihak kita untuk melakukan ujian swab kepada atlet, namun pendekatan kearah itu mungkin untuk atlet berstatus elit sahaja.
“Ini kerana kos untuk melakukan ujian tersebut bagi seorang adalah melebihi RM300,” ujar Dr Ong.
Sambil menambah ketika ini terdapat 160 orang atlet berstatus elit dari 600 orang kesemua yang akan menggalas cabaran Sarawak ditemasya dwitahunan negara itu kelak.
Oleh Faizal Bujang