SEMATAN: Kerajaan Sarawak menubuhkan Pos Kawalan Sempadan sementara di Telok Melano, sementara menunggu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Telok Melano yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pos sementara yang dibina dengan kos RM500,000 itu akan menempatkan anggota penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
“Pos sementara ini dibina dengan peruntukan sendiri Kerajaan Negeri sementara menunggu CIQ kekal dibina oleh Kerajaan Persekutuan dan ia digunakan sementara menunggu kompleks tetap siap.
“Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju pembentukan kompleks CIQ antara Telok Melano dan Indonesia ini untuk membolehkan urusan antara Kalimantan dan Sarawak diuruskan dengan baik, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan merasmikan Pos Kawalan Sempadan serta Majlis Pecah Tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano di Sematan, semalam.
Abang Johari dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas peruntukan untuk membina kompleks CIQ yang menelan kos lebih RM20 juta itu.
Mengenai lokasi khusus kompleks CIQ itu, Abang Johari berkata pihaknya sudah mengenalpasti lokasi untuk pembinaannya yang mana terletak di sebidang tanah seluas tujuh hektar.
Sementara itu, terdahulu di dalam ucapannya, Abang Johari berkata ia adalah amat penting untum mempunyai pos kawalan sempadan tersebut kerana kawasan Telok Melano semakin membangun.
“Pembangunan kini sangat pesat di Telok Melano, selain Sarawak mempunyai ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Kalimantan Barat, Indonesia yang mana hubungan ini meningkatkan potensi perniagaan.
“Dahulu ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu meminta pos ini sempadan, saya teruz menyokongnya dan berbincang mengenai penubuhannya dengan Menteri Dalam Negeri ketika itu, yang kini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” jelasnya.
Menurutnya, Kompleks CIQ yang akan dibina itu nanti akan dilengkapi dengan fasiliti bagi anggota Kastam, Imigresen dan Polis yang akan ditugaskan di sini.
Abang Johari berkata, kawalan keselamatan dan peningkatan sosio ekonomi di Telok Melano menjadi keutamaan kerajaan Sarawak bagi membolehkan kawalan dilaksanakan dengan lebih teratur dan sempurna.
“Selain itu, sejak fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sematan-Telok Melano dibuka Januari tahun lalu, kawasan berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan malah penduduk dari negara jiran turut memasuki negeri ini menggunakan laluan antara Telok Melano dan Temajok.
“Sebab itu, kompleks kekal perlu dibina selain untuk memastikan kawalan lintas sempadan akan lebih teratur kerana Telok Melano kini semakin menjadi tumpuan ramai,” katanya lagi.
Oleh Zarina Abdullah