
SIBU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah memperkenalkan peluasan skim perlindungan sosial untuk individu bekerja sendiri dan suri rumah melalui Program Pertanian Komuniti 2025 di Rumah Maling Sungai Aup.
Menurut Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Cawangan Sibu, Sheryl Raju, dua skim yang dipromosikan iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) merupakan inisiatif terkini untuk memperkukuh kebajikan suri rumah.
“SKSPS yang diperkenalkan pada 2017 terus menerima sokongan kerajaan dengan subsidi caruman yang lebih tinggi pada tahun ini.
“Bagi pelan caruman kedua SKSPS 2025, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 70 peratus daripada caruman, pencarum hanya perlu membayar baki 30 peratus iaitu sebanyak RM70 setahun daripada jumlah asal RM232.82,” jelasnya.
Katanya, Skim Padanan Caruman 2025 merangkumi 13 kategori pekerjaan sendiri iaitu petani, nelayan, peniaga kecil, pemandu e-hailing dan pekerja gig.
“Bagi skim SPS Madani 2025 pula, kerajaan menyediakan pembiayaan penuh (100 peratus) untuk caruman di bawah Pelan Caruman 2 (RM232.80) dengan perlindungan selama 12 bulan (setahun) untuk individu bekerja sendiri seperti sukarelawan, pekerja di rumah ibadat, serta penyelia dan pembantu pemulihan komuniti.
Manakala SKSSR, katanya, diperkenalkan khusus bagi menyediakan perlindungan kepada suri rumah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur di bawah 55 tahun.
“Untuk SKSSR, carumannya hanyalah RM120 setahun. Faedah yang ditawarkan termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun kehadiran sentiasa, kemudahan pemulihan fizikal dan dialisis, elaun keilatan, faedah pengurusan pengebumian, dan pencen penakat,” katanya.
Beliau memberitahu, sehingga kini lebih daripada 400 suri rumah di Sibu telah mendaftar di bawah skim tersebut.
“Syarat kelayakan SKSSR, bagi peserta kali pertama, suri rumah mestilah tidak melebihi umur 54 tahun dan perlu membayar caruman RM120 sekali gus untuk perlindungan berterusan selama 12 bulan.
“Caruman ini boleh dibayar sendiri oleh suri rumah, suami, ahli keluarga, atau mana-mana pihak ketiga. Jika suami memilih untuk mencarum bagi pihak isterinya, prinsip ‘sekali masuk, sentiasa masuk’ akan diguna pakai bagi memastikan perlindungan berterusan,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya berlaku kehilangan pendapatan, pencarum perlu memaklumkan kepada Perkeso dalam tempoh 60 hari sebelum tempoh caruman semasa tamat.
Beliau menggesa lebih ramai individu bekerja sendiri dan suri rumah di Sibu untuk merebut peluang mendapatkan perlindungan sosial demi kesejahteraan masa depan, selaras dengan usaha kerajaan memperluas jaringan keselamatan sosial negara.
Oleh Akun Giman