KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah meluluskan RM8.99 bilion di bawah program subsidi upah setakat 31 Julai 2020 yang telah memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, program skim subsidi upah itu akan dapat terus membantu majikan dan pekerja yang terkesan akibat Covid-19.
“Untuk makluman semua, pihak PERKESO juga telah memuat naik nama majikan yang telah menerima bantuan berkenaan.
“Tindakan ini diambil ekoran aduan daripada awam bahawa ada majikan yang mengambil subsidi tetapi masih memberhentikan atau memotong gaji pekerja tanpa persetujuan mereka,” kata beliau dalam Laporan LAKSANA ke-16 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak PERKESO di emel aduansip@perkeso.gov.my atau talian 1300 228 000 untuk tindakan lanjut.
Mengulas mengenai Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS), beliau berkata setakat 31 Julai 2020, sejumlah 1,810 permohonan diluluskan berjumlah RM13.3 juta.
Daripada jumlah itu, RM6.8 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 900 perusahaan kecil dan sederhana mikro.
Sementara itu, mengenai objektif PENJANA untuk merangsangkan ekonomi, beliau berkata, 7.44 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka dengan nilai sebanyak RM372 juta.
ePenjana adalah salah satu inisiatif yang bertujuan membantu rakyat Malaysia yang layak serta merancakkan perbelanjaan pengguna melalui pemberian kredit RM50 yang dipadankan insentif bernilai RM50.
Ia dilancarkan pada 31 Julai 2020 dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak MySejahtera Covid-19 dan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet terkemuka iaitu, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet
Tengku Zafrul turut mengingatkan orang awam bahawa mereka boleh memanfaatkan insentif cukai untuk pembelian kereta iaitu pengecualian cukai jualan.
Untuk model kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD), pengecualian cukai adalah 100 peratus manakala model kereta penumpang import (CBU) pula sebanyak 50 peratus, bermula 15 Jun sehingga akhir Disember 2020.
“Usaha ini dilakukan kerajaan bagi merancakkan kembali industri automotif di dalam negara.
“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia, jumlah jualan pada bulan Jun 2020 adalah lima peratus lebih tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2019. Ini merupakan perkembangan positif dan selaras dengan matlamat inisiatif ini,” tambah beliau. – Bernama