SEREMBAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Psikiatri semua hospital kerajaan menerusi program kembali bekerja Restart (Re-employment support, treatment and rehabilitation team) pada penghujung tahun ini, bagi membantu bekas pesakit mental mendapatkan pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, setakat ini sebanyak 48 peratus daripada 83 peserta program berkenaan telah dibantu dalam penempatan pekerjaan yang melibatkan bekas pesakit dari enam hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tiga lagi hospital, ialah Hospital Selayang, Hospital Melaka dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah di Klang.
“Kementerian dalam usaha memastikan akses kepada peluang pekerjaan dan melihat kepada kelembapan ekonomi, kita perlu membantu semua lapisan masyarakat, tidak terkecuali golongan bekas pesakit mental.
“Melalui program yang bermula sejak 2017 itu, pesakit diberikan pelbagai sokongan termasuk menerusi portal MYFutureJobs. Ia sebagai langkah awal membantu golongan itu sekali gus dapat menyumbang kepada produktiviti negara,” katanya, pada sidang media selepas merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia peringkat Negeri Sembilan di sini, semalam.
Mengulas mengenai karnival itu yang bermula sejak 15 Jun lepas, beliau berkata, seramai 12,435 majikan telah membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja dan daripada jumlah itu seramai 37,340 pekerja telah digaji.
“Hari ini, lebih 6,000 kekosongan jawatan menanti dan saya dimaklumkan seramai 2,327 pencari kerja telah mendaftar, maka dengan adanya tawaran ini saya rasa jika tidak memilih semua orang akan dapat kerja,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dua hari lepas, supaya Program Subsidi Upah (PSU) yang dijadualkan berakhir bulan ini, dilanjutkan sehingga akhir tahun, beliau berkata perkara itu sedang dikaji dan perlu mengambil kira impak kewangan negara.
— Bernama