Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Perkenal semula pendidikan tasawuf, moral dalam silibus – Fadillah
  • PENDIDIKAN

Perkenal semula pendidikan tasawuf, moral dalam silibus – Fadillah

Utusan Sarawak 9 hours ago
JELASKAN… Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 2.0 Peringkat Sarawak 2025, di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof mencadangkan supaya elemen tasawuf dan pendidikan moral diperkenalkan semula dalam silibus sekolah bagi memperkukuh nilai kemanusiaan dan etika, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berdepan cabaran era digital serta kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, keperluan tersebut semakin mendesak berikutan perubahan pesat dunia teknologi yang secara tidak langsung menghakis nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kehidupan seharian.

“Kita perlu menanamkan etika dan nilai kepada masyarakat kita. Walaupun kita ada teknologi, kita kena bertanggungjawab. Tanggungjawab itu berpaksikan nilai kemanusiaan dan nilai negara kita sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 2.0 Peringkat Sarawak 2025, di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Fadillah berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Pendidikan bagi melihat semula kurikulum atau silibus pengajaran sedia ada yang sedang dalam proses penstrukturan semula.

“Ini masa yang sesuai sebab kita sedang merangka kembali seluruh kurikulum. Saya kira amat penting untuk kita perkenalkan kembali pendidikan moral ataupun tasawuf supaya kita dapat mengasuh anak-anak kita dari awal.

“Kita mahu mereka memahami nilai budaya dan tanggungjawab terhadap masyarakat berbilang latar belakang dan kepercayaan. Apa sahaja tindakan kita ada implikasi, dan itulah yang perlu mereka fahami,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendidikan tasawuf atau pembentukan nilai moral bukan sekadar berteraskan agama, tetapi lebih kepada membentuk manusia yang beradab dan bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan alam sekitar.

Menurutnya, pendekatan itu selari dengan gagasan Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan manusia secara menyeluruh, seimbang antara kemajuan material dan kekuatan rohani.

“Tasawuf bukan hanya soal keagamaan semata-mata, tetapi soal kemanusiaan. Ia mendidik kita supaya memahami nilai hikmah, rahmah dan adab.

“Kalau kita mahu negara maju, kemajuan itu mesti datang dengan jiwa yang tenang dan berakhlak,” tegasnya.

Fadillah berkata, sekiranya sukar dilaksanakan secara formal dalam silibus sekolah, unsur pendidikan nilai tersebut boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum atau program pembinaan sahsiah di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Kalau tidak dapat diperkenalkan secara formal, ia patut menjadi sebahagian daripada kokurikulum atau program lain yang menanam nilai sesuai dengan kebudayaan dan latar belakang negara kita,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh nilai kemanusiaan dan pendidikan tasawuf amat penting dalam memastikan rakyat Malaysia kekal berakhlak dan beretika dalam menghadapi cabaran teknologi, termasuk pengaruh media sosial serta budaya individualistik yang semakin menular.

“Dalam dunia yang dipacu oleh algoritma dan populariti, kita jangan hilang kemanusiaan. Kita mesti kembalikan roh nilai dalam setiap dasar dan sistem pendidikan negara,” katanya.

Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 2.0 Peringkat Sarawak 2025 dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta rakan strategik termasuk Pustaka Negeri Sarawak, Arkib Negara Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam (PERKEPIS).

Program tersebut antara lain bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap pemikiran Almarhum Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, seorang tokoh pendidikan dan pemikir Islam tersohor yang menekankan konsep Fiqh al-Ta‘ayush al-Silmi atau Fiqh Hidup Dalam Budaya Damai, berasaskan nilai Islam Wasathiyyah, toleransi dan kemanusiaan sejagat.

Fadillah dalam ucapannya turut menasihati agar gagasan pemikiran Siddiq Fadzil dijadikan asas dalam membina masyarakat beradab dan harmoni, selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan menerusi Malaysia MADANI serta aspirasi Sarawak Maju Makmur di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita bukan sekadar membina kemajuan fizikal negara, tetapi membina jiwa bangsa. Dengan gabungan nilai kemanusiaan dan ilmu, kita mampu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja cerdas akal, tetapi juga terang hati dan tinggi budi,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat


Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Aktiviti renang tingkat kecergasan dan sahsiah pelajar
Next: KV terus jadi pemangkin agenda TVET dan STEM Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.