BANGKOK: Kedutaan negara anggota ASEAN di Bangkok memperkenalkan hidangan tradisi istimewa masing-masing bersempena sambutan Hari ASEAN ke-53.
Sambutan dua hari itu yang bermula Sabtu di Pusat Kebudayaan ASEAN di Bangkok, bertujuan mempromosikan identiti ASEAN menerusi pameran, hidangan ASEAN dan juga persembahan kebudayaan.
Antara hidangan popular dipersembahkan pada acara itu termasuk Nasi Lemak dan Roti Jala dari Malaysia, Klepon (bebola tepung beras yang diisi gula Melaka dan disalut kelapa parut) dan Combro (kuih tradisional Jawa Barat, diperbuat daripada ubi parut dan sambal oncom kemudian digoreng) dari Indonesia, Adobo (daging diperap) dan Kutsinta (kuih tepung beras kukus) dari Filipina, Nom Bo Kho (salad daging dendeng) dari Vietnam dan Ketam Bercili dari Singapura.
Selain itu, duta besar dan wakil kedutaan juga mengambil bahagian dalam sesi memasak ‘Tom Yam Kung’ yang dibimbing oleh Cef Vichit Mukura daripada Khao Restaurant, restoran bertaraf bintang Michelin Satu di Bangkok.
Pengunjung juga berpeluang merasai hidangan istimewa tersebut dan menonton demonstrasi masakan oleh wakil-wakil kedutaan.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel berkata, program itu merupakan inisiatif baik oleh Kementerian Kebudayaan Thailand untuk meraikan Hari ASEAN dan meningkatkan kesedaran serta mempromosikan perkumpulan serantau itu.
“Ia merupakan satu lagi peluang untuk mempromosikan khazanah dan kepelbagaian kebudayaan ASEAN menerusi makanan serta tonggak komuniti sosio-budaya ASEAN dalam memperkukuh identiti ASEAN,” katanya kepada Bernama.
Terdapat tiga tonggak di bawah Komuniti ASEAN iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya.
Tahun 2020 dipilih sebagai Tahun Identiti ASEAN bertujuan mewujudkan dan meningkatan kesedaran umum, memupuk rasa kekitaan dan berkongsi identiti dalam kalangan rakyat.- Bernama