KUCHING: Evolusi pengurusan Hal Ehwal Islam dalam menempa pencapaian yang cemerlang adalah kesan daripada kesungguhan semua warga kerja Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dalam mendokong amanah yang diberikan oleh kepimpinan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kecemerlangan itu juga adalah hasil jaringan kerjasama strategik oleh semua pihak khususnya pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO) dan suasana harmoni yang masyarakat pelihara bersama.
“Perkembangan pesat JAIS di awal penubuhan sehinggalah melewati tiga dasawarsa ini telah menggambarkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negeri yang dinikmati masyarakat pelbagai bangsa, etnik, adat resam dan kepercayaan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Sambutan Jubli Mutiara JAIS ke-30 di Masjid Darul Hana, malam tadi.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Beliau turut bersyukur, setelah tiga dekad berlalu, JAIS berkembang pesat bermula dengan hanya 178 jawatan pada 1990, kini berjumlah 477 jawatan dan bermula dengan lima bahagian sahaja di ibu pejabat pada masa penubuhannya berkembang kepada 10 bahagian dengan peruntukan kewangan yang banyak bagi menggerakkan operasi JAIS di seluruh negeri.
“Ini menggambarkan komitmen yang sangat tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk melihat kesejahteraan ummah terbela dan agama Islam diperkasakan serta dapat berkembang secara harmoni dalam masyarakat pelbagai agama di negeri ini,” tambahnya.
Ujarnya, banyak lagi usaha lain yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan agama Islam tetap terpelihara dan umatnya terbela termasuk melalui Agensi Islam yang lain seperti Jabatan Mufti Negeri Sarawak dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada JAIS kerana telah menyahut seruan di bawah Dasar Ekonomi Digital Kerajaan Negeri Sarawak melalui pewujudan aplikasi penyampaian perkhidmatan secara dalam talian.
“Penyampaian perkhidmatan dalam talian itu seperti e-Masjid (pengurusan hal ehwal masjid), e-Hidayah (pendaftaran pengislaman), e-Dakwah (pengurusan tauliah dan lain-lain), e-Munakahat (pengurusan nikah, cerai & ruju’), LIBMAS (pengurusan perpustakaan) dan kemuncak kepada pencapaian inisiatif kerajaan elektronik JAIS ialah pelancaran aplikasi Khidmat Islam Sarawak (KISWA) pada 2020 baru-baru ini yang mengintegrasi semua aplikasi dalam talian JAIS dengan beberapa tambahan aplikasi baharu serta jaringan aplikasi agensi-agensi Islam yang lain.
“Saya berharap JAIS dan juga Agensi Islam yang lain di negeri Sarawak akan terus mempertingkatkan lagi usaha dalam memartabatkan syiar Islam dan dalam masa yang dapat memelihara keharmonian dengan penganut agama yang lain,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman