PENDUDUK Sarawak terutama orang Islam telah mempunyai sistem pendidikan tersendiri sebelum datangnya James Brooke ke Sarawak.
Tradisi Islam telah meletakkan pendidikan itu sebagai salah satu yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam.
Ini kerana pendidikan Islam dijelmakan dalam pelbagai bentuk di Sarawak menerusi peranan para agamawan Islam.
Surau dan rumah tok guru menjadi pusat perkembangan ilmu tersebut.
Anak didik mereka juga boleh melanjutkan pendidikan di Makkah untuk mendalami ilmu tentang Islam.
Kedatangan James Brooke dan pemerintahan keluarga Brooke pula hanya mengasaskan pendidikan Barat untuk melahirkan kakitangan kerajaan.
Dalam hal ini Rani Margaret Brooke memainkan peranan untuk menyedarkan isteri pembesar Melayu untuk menerima pendidikan yang dibawa oleh Barat ini.
PERANAN PEMBESAR
Ini tidak bermakna bahawa orang Melayu tidak menunjukkan minat dalam pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan Brooke.
Datu Bandar Abang Mohammad Kassim merupakan pemimpin Melayu yang sedar tentang hal ini telah mengerakkan usaha untuk mewujudkan pendidikan vernakular Melayu di Kuching.
Tidak boleh dinafikan bahawa tradisi ilmu diwarisi oleh pembesar Melayu ini membawa kepada usaha membangunkan pendidikan vernakular Melayu.
Abang Mohammad Kassim merupakan pembesar kanan dalam kalangan orang Melayu.
Beliau amat dihormati oleh pemerintah Brooke. Peranan Abang Mohammad Kassim ini amat besar dalam menjayakan penubuhan sekolah vernakular Melayu pertama di Sarawak.
Sebelum beliau, pernah dinyatakan wujud sekolah-sekolah Melayu seperti Sekolah Inche Buyong dan Sekolah Makkah.
Namun sekolah-sekolah ini tidak dapat dipastikan tentang perkembangannya.
Ia hanyalah disebut oleh orang Barat tetapi apa berlaku pada sekolah-sekolah ini tidak diketahui.
Kewujudan dua sekolah ini menunjukkan bahawa orang Melayu memang mempunyai semangat untuk mengembangkan pendidikan kepada anak-anak mereka.
Mereka dilihat ke hadapan dalam soal penubuhan sekolah ini tanpa perlunya galakkan daripada pihak pemerintah.
PERKEMBANGAN
Di sinilah peranan tokoh awal disebutkan tadi, memain peranan besar dalam pembangunan pendidikan di Sarawak.
Oleh kerana beliau sebagai pembesar Melayu berpengaruh, maka usaha beliau untuk menubuhkan sekolah ini telah mendapat sokongan kerajaan Brooke.
Maka atas sokongan ini, sekolah vernakular Melayu pertama ini didirikan pada 1883.
Sekolah ini diberi nama Sekolah Abang Mohammad Kassim.
Dalam usaha membantu pembangunan sekolah ini Abang Mohamed Kassim sendiri menjadi tenaga pengajarnya.
Beliau menjadi guru mengajar Bahasa Melayu.
Menjelang 1889, pelajar yang mengikuti pendidikan di sekolah ini berjumlah 117 orang.
Dari segi silibus, pelajaran di sekolah ini adalah sejarah, geografi dan kira-kira selain Bahasa Melayu.
Ketika itu sekolah vernakular Melayu menghadapi masalah ketiadaan buku rujukan.
Pelajar di sekolah ini hanya dibekalkan dengan papan slate bagi membolehkan pelajar ini melakukan aktiviti penulisan.
Walaupun sekolah ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu, kadangkala guru dari pertubuhan mubaligh Kristian dijemput untuk mengajar Bahasa Inggeris.
Sekolah yang ditubuhkan oleh Abang Mohamed Kassim ini kemudiannya ditukar nama kepada Sekolah Kampung Jawa.
Walaupun pada awalnya sekolah ini menunjukkan terdapat perkembangan positif tetapi kadar keciciran juga agak tinggi.
Masalah ini tidak mematikan perkembangan sekolah tersebut dan terus bertahan sehingga abad ke-20.
INSPIRASI
Kejayaan penubuhan sekolah vernakular Melayu pertama ini memberi satu kekaguman daripada seorang pentadbir Sarawak bernama Bakar.
Beliau juga seorang pendidik tidak melepaskan peluang untuk memberi pendidikan kepada anak-anak Melayu di seberang Sungai Sarawak.
Beliau telah mendirikan Sekolah Kampung Gersik.
Usaha kerajaan Brooke untuk membangunkan sekolah vernakluar mula kelihatan pada awal abad ke-20.
Perancangan kerajaan ini adalah membina sebuah sekolah yang mempunyai aliran pendidikan mengikut bahasa utama di Sarawak.
Sekolah ini dinamakan sebagai Government Lay School yang ditubuhkan pada 1901.
Perkembangan sekolah ini tidak panjang kerana gagal mendapat sambutan dalam kalangan penduduk Cina.
Atas sebab itu hanya aliran Bahasa Melayu sahaja wujud di sekolah tersebut.
PERCAMBAHAN
Pada 1930 walaupun tahun kemelesatan ekonomi dunia, perkembangan pendidikan vernakluar Melayu memasuki era perkembangan pendidikan vernakular Melayu yang pesat di Kuching.
Beberapa sekolah lagi telah wujud, dan terdapat dua perkembangan baharu dalam hal ini.
Pertama penubuhan sekolah khas untuk golongan wanita. Sekolah ini diberi nama Sekolah Permaisuri.
Penubuhan sekolah perempuan ini memberi ruang lebih besar kepada kanak-kanak perempuan untuk menimba ilmu.
Kedua pula pendidikan dalam sekolah vernakular Melayu naik pada tahap menengah rendah.
Ini kerana Government Lay School telah disusun semula dan membawa kepada penubuhan Madarasah Melayu.
Institusi baharu ini merupakan tempat melahirkan guru-guru terlatih Sarawak.
Sebelum ini guru-guru Melayu di Sarawak akan dihantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.
KELESUAN
Perkembangan pendidikan vernakular Melayu di Kuching ini tidak sama dengan keadaan di luar bandar.
Ini kerana pendidikan vernakular Melayu tidak berkembang pesat dan sering mendapat halangan daripada minat kanak-kanak yang menghadiri sekolah tersebut.
Ini tidak bermakna bahawa pendidikan ini diketepikan oleh masyarakat Melayu Sarawak.
Pada 1887 di Sibu misalnya, terdapat pemintaan untuk mendirikan sekolah di bandar tersebut. Atas inisiatif mereka sendiri maka sekolah itu dibina oleh masyarakat Melayu sendiri.
Usaha mendirikan sekolah di Sibu ini mendapat sokongan kerajaan Brooke.
Pada 1927, kerajaan Brooke membantu untuk mencari tapak baharu untuk membina sekolah vernakular Melayu di Sibu.
Kesedaran tentang pendidikan ini juga mucul dalam kalangan penduduk Melayu di Sarikei.
Pada 1928, laporan daripada pegawai Brooke menyatakan penduduk Melayu ini mahu pihak kerajaan mendirikan sekolah untuk mereka dengan perbelanjaan kerajaan.
SEKOLAH DAYAK
Kesedaran tentang pendidikan juga mula muncul dalam kalangan masyarakat Dayak.
Selain peranan mubaligh dalam memberi pendidikan kepada mereka, pemimpin Dayak ini juga memain peranan dalam membangunkan sekolah untuk anak-anak mereka.
Hal ini diakui oleh Pegawai Dearah Archer bahawa atas inisatif Penghulau Ikau, TR. Ujang dan beberapa pemimpin Dayak pada 1927, maka sekolah Dayak dapat didirikan di Bawang Assan.
Archer menyatakan juga bahawa seramai 30 kanak-kanak telah mendaftar di sekolah tersebut.
Hanya perkembangan sekolah vernakular Melayu mendapat perhatian bukan setakat pihak kerajaan.
Tradisi ilmu yang ada dalam kalangan pemimpin Melayu sebelum itu membawa kepada insiatif untuk memberi pendidikan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Malah masyarakat Dayak juga sedar pentingnya pendidikan ini sehingga membawa pembinaan sekolah vernakular mereka sendiri.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).