LIMBANG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu memperbanyakkan pembinaan kemudahan Taska dan Tabika di daerah Limbang dalam memperkasa pendidikan awal kanak- kanak di sini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti sejak awal lagi.
“Kita berharap perkara ini (kemudahan Taska dan Tabika) dapat diperbanyakkan di Daerah Limbang dan difahamkan beberapa bangunan Taska dan Tabika KEMAS akan dibina di Limbang,”katanya pada Hari Apresiasi Tabika, Taska KEMAS, Parlimen Limbang, di Dewan Suarah Limbang hari ini.
Jelas beliau, KEMAS berperanan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak.
“Kanak-kanak perlu diterap nilai perpaduan yang tinggi sejak awal lagi dalam kita membangunkan negara ini.
“Tanpa adanya perpaduan, kita tidak akan membangunkan negara,”ujar Hasbi.
Tambahnya sikap berpuak-puak perlu dielakkan kerana ia bukan mencerminkan nilai perpaduan sebenar.
“Kita tidak mahu hidup berpuak- puak kerana itu bukan menuju ke arah perpaduan, dan cara untuk merapatkan silaturahim.
“Jangan dirosakkan perpaduan yang dibina generasi terdahulu dan ia perlu dipelihara dan dipertahankan,”jelasnya.
Katanya program itu mampu mengalakkan persaingan sihat kanak-kakan dalam bidang akademik dan kokurikulum, mendorong penglibatan aktif kanak-kanak dalam aktiviti kokurikulum pelbagai peringkat selain menerapkan budaya kecemerlangan dalam kalangan mereka.
Seramai 147 kanak-kanak menerima sijil serta 35 kanak-kanak menerima Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang membabitkan sebuah kelas Taska dan 34 Tabika.
Turut hadir, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Anisah Saidin, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman dan tetamu lain.