
KUCHING: Kejohanan bertaraf antarabangsa dilihat sebagai peluang strategik untuk memperkasa pembangunan sukan di Sarawak, di samping merangsang pertumbuhan sektor ekonomi berkaitan.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, acara seperti Kejohanan Kelayakan Asia Oceania 2025 – Tenis Remaja Dunia anjuran Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) berpotensi menjadi platform penting buat atlet muda mengasah bakat serta menimba pengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi.

“Hasrat kita ialah untuk melihat pemain muda dari Sarawak bukan sekadar bertanding di peringkat tempatan, tetapi juga layak mewakili Malaysia suatu hari nanti, bermula dengan kejohanan seperti ini di gelanggang sendiri,” katanya selepas menyaksikan pusingan kejohanan yang berlangsung di Pusat Persatuan Tenis Sarawak (SLTA), hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa kejohanan seperti ini membawa impak ekonomi yang ketara kepada komuniti setempat, terutama dari segi peningkatan permintaan terhadap penginapan, makanan dan perkhidmatan berkaitan.


ANTARA aksi peserta pada perlawanan akhir kelayakan Asia Asia Oceania 2025 Tenis Remaja Dunia ITF bertempat di Sarawak Lawn Tennis Kuching. Foto HERRIEY NAHA
Tambahnya, penganjuran acara sukan berskala besar juga memainkan peranan dalam memperkukuhkan keupayaan teknikal pegawai sukan tempatan serta memperluas jaringan kerjasama dalam industri sukan.
Tahun ini, Sarawak dijadualkan menjadi tuan rumah kepada enam kejohanan tenis, termasuk dua kejohanan antarabangsa yang sedang dirancang.
Beberapa lagi pertandingan dijangka berlangsung menjelang akhir tahun.
Oleh Amanda L